
PETRA JAYA: Sarawak berharap temasya Sukan Malaysia (Sukma) dapat diteruskan seperti dirancang susulan persiapan menyeluruh yang telah dilaksanakan lebih awal termasuk komitmen kewangan yang besar serta pengorbanan atlet.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pelbagai persiapan termasuk logistik, tempahan penginapan serta latihan atlet telah dibuat sejak awal.
“Apabila melibatkan Sarawak, harapan saya Sukma diteruskan. Banyak yang telah dibelanjakan untuk persiapan termasuk logistik, tempahan hotel, inap desa dan bayaran deposit.
“Malah atlet kita telah dihantar ke merata tempat termasuk ke luar negara untuk latihan. Jika ditangguhkan, ada antara mereka mungkin tidak dapat menyertai kerana had umur Sukma adalah 21 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ‘The Friendship Diplomacy’ di Baitul Makmur, hari ini.
Tambah beliau, sebahagian atlet Sarawak telah menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara sebagai persediaan menghadapi temasya tersebut.
“Ini melibatkan pengorbanan besar daripada atlet sendiri. Jadi kita harap usaha ini tidak sia-sia sekiranya Sukma diteruskan seperti dirancang,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan sama ada Sukma akan diteruskan atau ditangguhkan bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan serta kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan lawatan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ke Sarawak akan melibatkan tinjauan ke beberapa kemudahan sukan termasuk Stadium Sarawak dan Stadium Perpaduan Petra Jaya.
“Isu penganjuran Sukma juga akan turut dibangkitkan secara tidak rasmi sepanjang lawatan tersebut, selain program turun padang ke Kampung Semeba bagi bertemu masyarakat setempat,” ujarnya.