
HORSENS: Apabila Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengambil alih kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lepas, beliau memperkenalkan satu pelan tindakan dinamakan “Tangkis 2030”.
Antara matlamat terdekatnya ialah untuk mengembalikan status Malaysia sebagai kuasa besar badminton dunia, bermula dengan merampas semula Piala Thomas 2026.
Ia satu sasaran tinggi namun timbul persoalan mengenai keupayaan skuad negara menamatkan penantian 34 tahun untuk menjulang trofi kejuaraan pada kejohanan yang akan membuka tirai esok.
Atas kertas, misi Malaysia dianggap berat berikutan prestasi kurang memberangsangkan bahagian perseorangan lelaki, dengan ketiadaan pemain yang konsisten dalam kelompok 10 terbaik dunia berbanding kuasa besar seperti China, Indonesia malah negara sedang meningkat naik seperti Perancis.
Perseorangan utama negara Leong Jun Hao yang menghuni ranking ke-25 dunia masih bergelut membentuk prestasi konsisten, manakala Justin Hoh (44) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (51) masih dalam proses menyesuaikan diri di pentas tertinggi.
Kehadiran pemain profesional Lee Zii Jia yang berada di ranking ke-82 boleh dianggap “cahaya di hujung terowong” berdasarkan pengalaman dan aura tersendiri yang boleh menjadikan anak kelahiran Kedah itu sebagai pencetus kemenangan jika berada pada tahap kecergasan terbaik serta keupayaan memikul tanggungjawab jika diturunkan sebagai perseorangan ketiga.
Kekuatan Malaysia terpaksa dialihkan kepada gandingan negara yang dibarisi nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (keenam) dan beregu profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (ketujuh).

Tugas berat memang jelas dipikul segmen beregu dengan mereka perlu memastikan dua mata disumbangkan dalam setiap pertemuan bagi menampung kelemahan di bahagian perseorangan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, England dan Finland dilihat mampu merebut dua tempat teratas sekali gus melangkah ke suku akhir.
Jepun yang juga juara edisi 2014, merupakan pencabar terdekat dengan membariskan beregu lelaki berpengalaman Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi dan Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.
Bagi perseorangan pula, Jepun mempertaruhkan keupayaan pemain kesembilan dunia Kodai Naraoka, Koki Watanabe (20), juara Terbuka Switzerland 2026 Yushi Tanaka (19) serta Yudai Okimoto (37).
China pula selaku juara bertahan bagaimanapun dilihat tidak lagi memiliki faktor gerun seperti edisi sebelum ini dengan meletakkan figura nombor satu dunia Shi Yu Qi sebagai tonggak utama manakala pemain lain kurang konsisten, di samping gandingan kelima dunia Liang Wei Keng-Wang Chang yang hanya meraih satu gelaran musim ini iaitu Terbuka India 2026.
China diundi dalam Kumpulan A bersama juara 2022, India, Kanada dan Australia.
Edisi kali ini bakal mengukur keupayaan tuan rumah Denmark yang akan turun tanpa Viktor Axelsen yang mengumumkan persaraannya baru-baru ini, dengan pencabar terdekat ialah Taiwan dan Korea Selatan serta Sweden dalam Kumpulan C.
Peranan utama dipikul pemain ketiga dunia Anders Antonsen dibantu beregu berpengalaman Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Taiwan menggabungkan pengalaman pemain keenam dunia Chou Tien Chen, juara All England 2026 Lin Chun-Yi serta kekuatan beregu pemenang pingat emas Sukan Olimpik dua kali, Wang Chi-Lin bersama pasangan terkini Chiu Hsiang Chieh.
Indonesia boleh dikatakan pasukan terbaik dalam misi memburu gelaran ke-15, dengan membariskan pemain perseorangan Jonatan Christie (kelima) dan Anthony Sinisuka Ginting (46), manakala kekuatan beregu pula disandarkan kepada pasangan ketiga dunia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri.
Pasukan itu turut diperkuat dengan bakat muda meningkat naik seperti Alwi Farhan (14) serta gandingan beregu Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, yang mencuri perhatian di Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus meletakkan Indonesia antara pilihan utama untuk muncul juara.
Diundi dalam Kumpulan C, Indonesia akan berdepan Perancis, Thailand dan Algeria, dengan Perancis dijangka menjadi pencabar terbesar.
Diterajui adik-beradik Popov, Christo dan Toma Junior, serta juara perseorangan lelaki Eropah 2025 Alex Lanier, skuad Perancis berpotensi mencipta kejutan lebih-lebih lagi selepas menamatkan dominasi Denmark dengan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Lelaki Eropah 2026 di Turkiye, Februari lepas.
Walaupun tanpa Pearly Tan, Malaysia masih menjadi pilihan untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak edisi 2010 Piala Uber.
Diketuai M Thinaah, skuad wanita dibarisi K Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Muhammad Azmi serta pemain profesional Goh Jin Wei, manakala bahagian beregu pula menampilkan gandingan Ong Xin Yee-Carmen Ting, Noraqilah Maisarah Ramdan-Low Zi Yu dan Chong Jie Yu.

Dalam Kumpulan B, Malaysia bakal berdepan Jepun yang diterajui juara dunia perseorangan wanita tiga kali Akane Yamaguchi, diikuti Turkiye dan Afrika Selatan.
Sementara itu, China tampil sebagai pilihan utama untuk meraih gelaran ke-17, dengan membariskan Wang Zhi Yi (kedua) dan Chen Yu Fei (keempat), selain pasangan beregu Liu Sheng Shu-Tan Ning.
China diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Denmark, India dan Ukraine.
Ketiadaan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Gregoria Mariska Tunjung, menyaksikan Indonesia yang juga juara tiga kali akan bergantung kepada pemain keenam dunia Putri Kusuma Wardani untuk memimpin cabaran dalam Kumpulan C bersama Taiwan, Kanada dan Australia.
Korea Selatan pula kembali sebagai pencabar utama dengan diketuai An Se Young, diundi dalam Kumpulan D bersama Thailand, Bulgaria dan Sepanyol. – Bernama