KUCHING: Penyanyi dan komposer popular, Aina Abdul pilih Sarawak sebagai lokasi pertama untuk konsert jelajah pertamanya, ‘Aina Abdul Imaji Tour’ kerana mahu dekati peminatnya di Sarawak.
Katanya, ini kerana rasa kasihnya terhadap peminatnya di Sarawak kerana layanan dan sambutan mereka terhadapnya yang sangat baik sehinggakan beliau menganggap Sarawak sebagai rumah keduanya.
“Setiap kali saya datang ke sini (Sarawak) saya sering balik dengan pengalaman yang terbaik dengan peminat-peminat. Saya sering diberikan pelbagai buah tangan dari Sarawak (diberikan oleh peminat), sehinggakan, saya merasakan Sarawak ini rumah kedua saya.
“Selain itu, mungkin ramai tidak tahu, pasukan muzik saya di Semenanjung, yang sering membantu saya menghasilkan lagu dan membuat rakaman lagu adalah orang Sarawak yang tinggal di Semenanjung.
“Jadi sebab itu juga membuat saya dekat dengan orang Sarawak,”katanya pada sidang media ‘Aina Abdul Imaji Tour’ di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 31 tahun itu juga menjanjikan pengalaman yang terbaik untuk peminat yang hadir pada konsert jelajahnya 14 Disember depan yang bakal berlangsung di Arena Gemilang, Detar Putra Universiti Malaysia Sarawak, di Kota Samarahan.
Katanya, beliau akan membawa kelainan dalam konsepnya untuk jelajah pertamanya ini.
“Untuk jelajah saya ini, memandangkan ia merupakan album pertama saya dan ini adalah jelajah pertama saya, saya mahu tampilkan sesuatu yang saya kira visual terbaik, orang kata mata sedap memandang, telinga sedap mendengar.
“Itu adalah pengalaman yang saya mahu penonton rasakan apabila mereka masuk ke dewan itu nanti, saya mahukan mereka merasakan.
“Saya mahu mereka merasakan bahawa mereka dekat dengan saya, sehingga mereka merasakan saya mula menulis lagu-lagu saya itu bersama-sama dengan mereka,”jelasnya.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, yang merupakan pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 ini akan memastikan persembahannya nanti bakal mendekatkan hatinya kepada peminat seluruh negara.
“Daripada nukilan Imaji Tour ini, apa yang saya mahu tampilkan adalah hati saya, kerana kadangkala apabila kita berada dalam industri ini, tanggapan orang tentang saya ke arah pakaian saya.
“Jadi, kurang (tanggapan) daripada segi interaksi saya bersama peminat saya. Jadi, itu yang saya nak tampilkan kali ni,” katanya.
Pelantun lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ mengadakan konsert di tiga lokasi: Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Disember ini, Zepp Kuala Lumpur (27 Disember) dan Universiti Utara Malaysia (11 Januari 2025).
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NOOR IKMAL