KUCHING: Sarawak mencatatkan sebanyak 19,964 kes kemalangan jalan raya dari Januari hingga November tahun ini dengan 326 kes melibatkan kemalangan maut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus atau tambahan 466 kes berbanding 19,498 kes berbanding tahun lepas dalam tempoh sama.
Menurutnya, kes kemalangan maut pula menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus iaitu daripada 336 kes pada tahun lepas kepada 326 kes tahun ini dalam tempoh yang sama
”Statistik kemalangan dan kemalangan maut di jalan raya pada tahun ini bagi wilayah Sarawak masih tidak mampu untuk melegakan semua pihak.
”Walaupun dalam tempoh kajian, kes kemalangan maut menurun sebanyak 10 kes, ia tidak menggambarkan perubahan sikap yang ketara pengguna jalan raya seperti yang diharapkan.
“Bahkan hingga penghujung November tahun ini, kemalangan jalan raya terus menunjukkan peningkatan yang agak membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pelancaran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan PDRM Kontinjen Sarawak di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Menjelas lanjut berkenaan kempen tersebut, Mancha berkata ia akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Disember hingga 27 Disember di kawasan-kawasan ’panas’ yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas dan kerap berlaku kemalangan.
”Petugas-petugas PDRM akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan aliran trafik lancar dan terkawal dan rondaan bersama rakan kolaborasi akan dilaksanakan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Sementara itu, katanya penganjuran Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya menjelang hari Krismas 2024 berperanan untuk mendidik dan menyampaikan informasi berkenaan jalan raya kepada masyarakat.
Bersempena dengan kempen tersebut juga, PDRM Sarawak khususnya Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) membuka kaunter semakan dan pembayaran saman mulai 18 hingga 20 Disember 2024 bertempat di Dewan Terbuka, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bertujuan untuk membantu masyarakat setempat dan orang ramai menyelesaikan saman-saman PDRM yang tertunggak dengan kadar diskaun 50 peratus.
Oleh Rynna Sha’erra