Legasi Datuk Song terus dikenang dalam sejarah pembangunan Kuching

Facebook
WhatsApp
MENDIANG Datuk Song Swee Guan, veteran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dikenang atas sumbangannya kepada parti, Kuching dan Sarawak.

KUCHING, 5 Oktober: Legasi dan sumbangan veteran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Song Swee Guan, khususnya dalam pembangunan serta pentadbiran Kuching, terus dikenang susulan pemergiannya.

Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata mendiang merupakan antara generasi pemimpin yang menyaksikan dan menyumbang kepada pertumbuhan serta perubahan Kuching dan Sarawak sepanjang beberapa dekad.

Menurutnya, mendiang menumpukan sebahagian besar hidupnya kepada khidmat awam, khususnya di Kuching, dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai ADUN Padungan, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Datuk Bandar pertama Kuching Selatan.

“Datuk Song merupakan daripada generasi pemimpin yang menyaksikan serta menyumbang kepada pertumbuhan dan perubahan Kuching dan Sarawak selama beberapa dekad.

“Dalam kita meratapi pemergiannya, kita juga mengenang dengan penuh penghargaan segala dedikasi, pengorbanan dan sumbangannya kepada SUPP, Kuching dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ting berkata sumbangan mendiang dalam pentadbiran Kuching turut menjadi sebahagian penting dalam sejarah pembangunan bandar berkenaan.

Katanya, Datuk Song pernah berkhidmat sebagai ahli majlis dan kemudian Pengerusi Majlis Perbandaran Kuching sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar pertama Kuching Selatan selepas Kuching mendapat status bandar raya dan Kuching Selatan ditubuhkan pada 1988.

“Dalam peranan perintis tersebut, beliau membantu meletakkan asas bagi pembangunan dan pentadbiran Kuching Selatan,” katanya.

Menurut Ting, mendiang juga merupakan anggota dan pemimpin SUPP yang berdedikasi, manakala hubungan eratnya dengan kawasan Padungan menjadi antara bab penting dalam sejarah khidmat parti kepada masyarakat Kuching.

“Pemergian Datuk Song merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, parti serta masyarakat yang telah menerima khidmat beliau sepanjang hayatnya.

“Bagi pihak kepimpinan dan seluruh ahli SUPP, saya merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga, saudara-mara serta insan tersayang mendiang Datuk Song,” katanya.

Ting berkata legasi mendiang akan terus dikenang oleh parti dan masyarakat, khususnya menerusi khidmat serta sumbangannya kepada Kuching dan Sarawak.

“Terima kasih Datuk Song Swee Guan atas segala khidmat dan sumbangan selama ini. Legasi serta sumbangan beliau kepada Kuching dan Sarawak akan sentiasa dikenang,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar itu serta semoga roh mendiang dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kedamaian abadi.

Oleh Connie Chieng