KUCHING: Sepanjang bulan Julai lalu, Sarawak merekodkan 1,121 kes melibatkan 1,379 tangkapan berkaitan penguatkuasaan aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tangkapan tersebut adalah hasil daripada 969 operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 56 kes melibatkan 86 tangkapan adalah bagi kesalahan membekal dan mengedar dadah dan bahan terlarang.
“Lapan kes dalam kategori itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih daripada 15 kali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.
Tambahnya, manakala sebanyak 191 kes yang melibatkan 256 tangkapan bagi kesalahan memiliki dadah dan bahan.
“Bagi kesalahan positif urin di bawah Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, sebanyak 766 kes yang melibatkan 735 tangkapan telah direkodkan di Sarawak.
“Manakala di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998), terdapat sejumlah 108 kes melibatkan 302 tangkapan hasil daripada 66 operasi yang dijalankan oleh AADK Sarawak,” jelasnya.
Tegasnya, One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Negeri memberi tumpuan yang sama penting kepada tindakan dan intervensi berbentuk penguatkuasaan serta bukan penguatkuasaan.
Mengulas mengenai analisis laporan tempoh Januari hingga Julai 2020, Fatimah berkata jumlah tangkapan bagi kategori kes bekalan dadah pada bulan Julai adalah sebanyak 19.5 peratus (86 tangkapan) jika dibandingkan dengan keseluruhan tangkapan bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Julai 2020.
“Jumlah tangkapan bagi kategori memiliki pula adalah sebanyak 17.7 peratus (256 tangkapan) jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan bagi tempoh yang sama,” jelasnya.
Fatimah berkata, tanggungjawab menangani tersebut, semua pihak adalah diperlukan kerana isu ini adalah kompleks dan rumit selain turut mempunyai kaitan dan kesan terhadap isu dan masalah sosial yang lain seperti jenayah harta benda.
“Masyarakat yang mempunyai maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance boleh menyalurkan WhatsApp kepada Hotline JSJN ditalian 0122087222; dan Hotline AADK ditalian 019-6262233.
“Bagi individu yang sudah terjebak, rawatan dan pemulihan boleh diperolehi daripada AADK dan Klinik Kesihatan yang terdekat.
“Selain itu, Ibu-bapa adalah diingatkan agar sentiasa memantau anak-anak agar mereka melakukan aktiviti dan terlibat dengan program yang dapat menghindari penglibatan dalam gejala sosial,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah