
SERIAN: Kerajaan Sarawak terus komited membantu golongan kurang berkemampuan melalui Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025 di Bahagian Serian.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata program tahunan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan yang akan menyambut perayaan Aidilfitri.
“Seramai 100 orang daripada 250 penerima bantuan hadir pada majlis ini dan menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper barangan makanan bernilai RM80.
“Bagi penerima yang tidak dapat hadir, sumbangan RM100 tersebut akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing.
“Selain sumbangan Aidilfitri, turut diserahkan bantuan lain seperti Bantuan Kerusi Roda, Kad OKU, Bantuan Sekolah, Bantuan Alat Tiruan/Sokongan, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian, serta Bantuan Bencana,” katanya semasa berucap pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri 2025 di Bahagian Serian, hari ini.
Mohammad Razi turut mengimbas kembali bencana banjir besar yang melanda Bahagian Serian dari 28 Januari hingga 6 Februari lalu yang menyaksikan 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
“Jumlah bantuan yang telah disalurkan kepada mangsa banjir adalah sebanyak RM729,524.70.
“Sebanyak 44 kampung terputus hubungan, menyebabkan 2,908 keluarga atau 13,521 mangsa terjejas dan bantuan makanan kering bernilai RM584,041 telah diagihkan.
“Saya amat menghargai usaha semua agensi kerajaan yang bekerjasama membantu mangsa banjir di Serian,” jelasnya.
Mohammad Razi, justeru, Beliau berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban kewangan penerima bantuan dalam persediaan menyambut Aidilfitri.
Selain sumbangan Aidilfitri, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan pelbagai insentif lain.
Antaranya, termasuk Bantuan Kerusi Roda, Kad OKU, Bantuan Sekolah, Bantuan Alat Tiruan/Sokongan, Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian, serta Bantuan Bencana.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Geoffrey Ramji, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Nurin Chunggat, wakil Residen Bahagian Serian Mohamad Rashdan Hazemi, Pegawai Daerah Serian Inting Nyami, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum, serta penerima-penerima bantuan dan tetamu jemputan yang lain.
Oleh Masrin Affirah