BELAGA: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan sistem holistik dan komprehensif yang dikenali sebagai Sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) bagi meningkatkan proses pengambilan pekerja asing dan bukan penduduk di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata FWTA akan menjadi saluran utama bagi majikan tempatan untuk mengiklankan kekosongan jawatan dan memberi peluang kepada pencari kerja tempatan.
“FWTA bertujuan untuk mempercepatkan proses pengambilan dan pemindahan pekerja asing, di samping memastikan pengaturan yang lebih baik dalam pengambilan pekerja di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penghargaan pekerja masyarakat Penan Metalun dengan Syarikat Danum Sinar Sdn Bhd di Ladang Danum Sinar di sini semalam.
Gerawat berkata, pada 1 Oktober 2021, satu unit baharu iaitu Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (IlMU), telah ditubuhkan di Jabatan Premier Sarawak untuk menguruskan hal ehwal imigresen dan buruh, yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Imigresen dan Buruh di bawah Unit Pentadbiran.
Sistem FWTA dibangunkan melalui ILMU.
Katanya, kerajaan Sarawak mengambil langkah tegas untuk menangani isu pekerja tidak sah dan mereka yang tiada permit kerja dari Jabatan Imigresen di negeri ini.
Beliau berkata, tindakan seumpama itu penting berikutan bekalan tenaga kerja untuk sektor ladang kelapa sawit di negeri ini didominasi oleh pekerja dari Indonesia (TKI).
“Awal tahun ini, kerajaan Sarawak memohon lanjutan pelaksanaan Program Penyelarasan Tenaga Kerja (RTK 2.0) sehingga 30 Jun. Selain itu, pengesahan dan pengeluaran pas lawatan kerja sementara telah dilanjutkan hingga 30 September dan 31 Disember,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk meminda Ordinan Buruh Sarawak (SLO) untuk menyelaraskannya dengan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan pindaan terbaharu kepada Akta Pekerjaan 1955 (Pindaan 2022) yang telah diluluskan di Parlimen pada Mac 2022.
Akta itu, tambahnya, mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 dan memberikan manfaat kepada majikan serta pekerja.
Mengenai majlis itu, beliau berkata pengiktirafan pekerja merupakan bentuk penghargaan syarikat kepada pekerja atas pencapaian mereka sepanjang perkhidmatan.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah Program Latihan Pekerja Masyarakat Penan serta penerima anugerah Perkhidmatan dari Danum Sinar Sdn Bhd.
“Saya berharap ini menjadi contoh baik kepada syarikat swasta yang berurusan dengan masyarakat tempatan,” katanya.