KUCHING: Sarawak mahu syarikat tempatan berkembang daripada pembekal barangan dan perkhidmatan asas kepada penyedia penyelesaian, rakan teknologi serta pemain yang berdaya saing dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tumpuan berkenaan penting ketika Sarawak memasuki fasa baharu pembangunan ekonomi selepas memperkukuh asas pelaburan dan infrastruktur perindustrian, selain mempelbagaikan ekonominya.
Menurutnya, Sarawak merekodkan RM116 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2025, dengan 61 peratus daripadanya merupakan pelaburan domestik, manakala RM11.2 bilion lagi dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.
“Namun, menarik pelaburan hanyalah sebahagian daripada persamaan. Persoalan seterusnya ialah sejauh mana nilai ekonomi yang dijana daripada pelaburan ini dapat dikekalkan di Sarawak.
“Kita mahu pelaburan menghasilkan pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pengetahuan, perusahaan tempatan yang lebih kukuh serta akses pasaran yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Rantaian Bekalan dan Sumber Global Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pelaburan di Kuching, Bintulu dan Miri perlu dimanfaatkan untuk membangunkan ekosistem perindustrian yang lebih kukuh, khususnya menerusi penglibatan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan profesional.
“Kita tidak mahu sekadar meningkatkan jumlah pembekal tempatan, malah kita mahu syarikat kita bergerak secara berperingkat ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai.
“Daripada membekalkan barangan dan perkhidmatan asas, kita mahu mereka beralih kepada pembuatan khusus, kejuruteraan, teknologi, reka bentuk dan aktiviti bernilai lebih tinggi,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menggesa usahawan Sarawak supaya meningkatkan pensijilan, piawaian kualiti, kapasiti pengeluaran, penggunaan teknologi dan keupayaan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan industri serta pasaran antarabangsa.

Menurutnya, pelabur dan syarikat multinasional juga perlu membina hubungan yang lebih kukuh dengan perusahaan tempatan menerusi perolehan tempatan, pembangunan pembekal, pemindahan teknologi dan pengetahuan serta peluang peningkatan kemahiran.
Awang Tengah berkata, perubahan persekitaran ekonomi global kini turut meningkatkan keperluan terhadap rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, mampan, boleh dipercayai serta dipelbagaikan.
Jelasnya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber, tenaga, tanah, infrastruktur perindustrian dan kesalinghubungan, selain keupayaan teknologi serta pembuatan yang semakin berkembang.
“Cabaran kita sekarang ialah menggabungkan kekuatan ini dan menerjemahkannya kepada peluang yang lebih besar untuk perniagaan Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kejayaan program berkenaan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah pertemuan, sebaliknya melalui jumlah pembekal yang berjaya dibangunkan, kontrak yang diperoleh, teknologi yang dipindahkan, pekerjaan yang diwujudkan serta perkongsian yang berkekalan.
Oleh Adele Rissa





