SARATOK: Menjelang pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak bakal menjadi penentu masa depan negara.
Berdasarkan hakikat ini, beliau mahu rakyat Sarawak terus memainkan peranan ke arah itu dengan memberi kemenangan mutlak kepada semua 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Maka perjuangan PRU-15 ini amat penting. Pastikan calon yang dipilih itu mampu berjuang untuk anak bangsa dan negeri Sarawak.
“Rakyat Sarawak buatlah pilihan yang terbaik serta bijak dalam menentukan calon yang bakal menjadi wakil rakyat pada PRU-15 esok,”katanya pada majlis Sarawakku Sayang di pentas utama Sri Kalaka, dekat sini, hari ini.
Pengerusi GPS itu berkata, kerajaan GPS adalah kerajaan yang stabil dan mempunyai kepemimpinan yang berjuang untuk Sarawak dari segenap aspek, dan sentiasa berjuang untuk mempertahankan kedaulatan Sarawak.
Dalam hal lain, katanya, Sarawak boleh bekerjasama dengan parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung untuk kebaikan Malaysia.
“Tetapi tidak bermakna untuk mereka membina pangkalan mereka dan membawa budaya politik mereka yang kucar-kacir ke negeri ini.
“Cara politik dan juga kehidupan Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Parti UMNO dan Malaya, jangan datang ke sini. Sejak awal lagi, kita sudah mendesak supaya tiada parti Malaya yang akan berpangkalan dan menjejakkan kaki ke Sarawak.
“Malah tiada keperluan untuk mereka (UMNO) ke sini. Semua perkara mereka di Malaya dijadikan isu. Sarawak ada budaya sendiri dan kami tahu mengurus Sarawak sendiri.
“Budaya kami berbeza dengan Tanah Melayu. Orang kami, sama ada Iban, Melayu, Orang Ulu, Cina dan Bidayuh, tidak ada masalah untuk hidup sebagai sebuah keluarga.
“Kita mahu dan mesti mempertahankan budaya kita yang tersendiri. Kita mesti menjaga budaya unik, keharmonian sosial dan perpaduan, dan pengurusan ala Sarawak di Sarawak.
“Kepemimpinan, budaya politik dan sosial seperti ini telah diturunkan daripada Tun (Abdul) Taib Mahmud kepada arwah Tok Nan lagi,”katanya.
Oleh AZREEN KERIA