SRI AMAN: Batang Ai di sini bakal menjadi yang pertama di Malaysia menghasilkan gabungan kedua-dua tenaga panel solar dan hidro.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek solar terapung itu dijangka akan siap dalam tempoh terdekat dan kini mencapai 30 peratus siap.
“Projek solar terapung ini melibatkan kawasan seluas 86 hektar, iaitu hanya kira-kira dua peratus daripada keseluruhan keluasan empangan Batang Ai yang mencapai 8,500 hektar.
“Ini bermakna bahawa apabila siap, pengeluaran tenaga daripada solar terapung ini akan mencapai 50 megawatt.
“Pada masa ini, Empangan Hidro Batang Ai menghasilkan 108 megawatt tenaga, dan dengan tambahan 50 megawatt daripada solar terapung, keseluruhan pengeluaran tenaga akan meningkat kepada 158 megawatt dari hidro dan solar.
“Saya telah mengkaji bahawa jika kita menggunakan 60 peratus daripada keluasan 8,500 hektar empangan ini untuk solar, kita berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 megawatt tenaga.
“Saya telah bercakap dengan pihak SEB (Sarawak Energy Bhd) untuk merancang supaya kita dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga sehingga 2,000 megawatt atau 2 gigawatt melalui pelaburan, sama ada dari syarikat tempatan mahupun asing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media media selepas lawatan kerja ke tapak Solar Terapung di Batang Ai, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sudah meminda undang-undang berkaitan yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penjanaan kuasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata ladang suria terapung 50MW baharu itu adalah tambahan penting kepada Batang Ai, menandakan projek solar terapung pertama Sarawak.
“Ia adalah kunci inisiatif dalam perjalanan untuk mengembangkan bahagian tenaga boleh diperbaharui kami,” katanya.
Projek itu didorong oleh usaha sama antara Sarawak Energy, China Power International Holdings dan firma tenaga solar Trina Solar, secara rasmi memulakan pembinaan pada 20 Jun 2023.
Dibina di atas takungan HEP Batang Ai, panel solar akan menjangkau lebih 190 hektar.