
PETRA JAYA: Sarawak terus menggandakan usaha menarik kehadiran pelancong melalui penganjuran konsert berskala besar dan festival muzik antarabangsa, selaras dengan agenda memperkukuhkan sektor pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dua konsert utama bakal dianjurkan di Stadium Tertutup Miri, iaitu Konsert MeleTOP TVS pada 17 Mei dan Konsert Berkat Gawai-Kaamatan pada 21 Mei.
“Kedua-dua konsert ini merupakan hasil kerjasama sulung antara TVS dan Astro, yang diyakini mampu menarik minat pengunjung tempatan serta antarabangsa.
“Kita yakin dengan penganjuran konsert ini, Sarawak akan menerima lebih ramai pelawat dari rantau ini, termasuk Brunei, Singapura, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
“Sarawak kini sedang dalam rundingan untuk membawa masuk artis antarabangsa bertaraf besar bagi mengadakan persembahan di Stadium Perpaduan Kuching pada Oktober ini.
“Barisan artis antarabangsa yang bakal dijemput masih dalam rundingan. Kalau saya umumkan sekarang, ia bukan lagi kejutan. Kita masih dalam peringkat rundingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa menghadiri Konsert Nidji Pelangi Di Kuching, di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini, malam tadi.
Tambah beliau, acara tahunan Rainforest World Music Festival (RWMF) juga akan diteruskan sebagai salah satu daya tarikan utama pelancong antarabangsa, khususnya peminat muzik dunia.
“Walaupun RWMF sudah lama dianjurkan, sambutannya tetap memberangsangkan. Ini membuktikan Sarawak memiliki keunikan yang terus diminati, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga budaya dan keindahan alam semula jadi.
“Selain membawa masuk artis luar, kita juga memastikan artis-artis tempatan diberi ruang untuk tampil bersama di pentas utama.
“Ini penting untuk membina keyakinan diri dan membuka peluang mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri turut menumpukan usaha memperkaya tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi selain bergantung dengan penganjuran konsert dan festival.
“Sarawak komited menaik taraf produk pelancongan alam, termasuk memperluas Projek Ladang Hutan Model di Sabal Forest Reserve di Simunjan serta memulihara Taman Negara Gunung Gading di Lundu.
“Kita tidak hanya bergantung kepada konsert dan festival tetapi juga mengukuhkan tarikan pelancongan alam semula jadi seperti melihat orang utan di habitat asal, sesuatu yang sukar didapati di bandar-bandar besar lain,” ujarnya.
Konsert Nidji Pelangi Di Kuching malam tadi, menampilkan kumpulan terkenal dari Indonesia, Nidji serta artis tempatan dan serantau iaitu Drama Band, Zah Amirul, Bob Yunus dan The Beretta’s.
Persembahan bertenaga menerusi lagu-lagu popular seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku sert nyanyian bertenaga artis lain berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 lebih peminat yang memenuhi ruang stadium.
Oleh Masrin Affirah