BEIJING, China: Penari jalanan China, Wu Yufei, menghabiskan sebahagian besar kerjaya 13 tahunnya membuat persembahan secara solo, namun tahun ini dia mendapat rakan baharu sekumpulan robot dengan gerakan yang lincah.
Anak kelahiran Sichuan berusia 27 tahun itu bersama rakan persembahan robotnya berjaya mara ke pentas akhir America’s Got Talent (AGT), pentas yang diimpikannya sejak bertahun-tahun lalu.
Sebagai peminat tegar fiksyen sains, Wu memberitahu AFP dari Pasadena, California, bahawa menari bersama robot dalam kumpulan Homies memberikan “perasaan yang sangat ajaib” kepadanya.
“Selepas berbulan-bulan berlatih bersama robot berkenaan, penari robotnya kini dirasakan lebih daripada sekadar “mesin yang sejuk dan tidak bernyawa,” katanya.

“Seolah-olah wujud semangat berpasukan,” kata Wu kepada AFP ketika dia dan kumpulan penari humanoid itu yang dihasilkan syarikat robotik China, Unitree membuat persiapan untuk pentas akhir AGT minggu ini.
Tarian robot menjadi fenomena besar di China selepas robot keluaran Unitree menarik perhatian menerusi persembahan pada Gala Festival Musim Bunga tahunan China, acara televisyen yang paling banyak ditonton di negara itu.
Sejak itu, syarikat dan penganjur acara di seluruh negara berlumba-lumba mendapatkan khidmat robot untuk membuat persembahan dan menarik pengunjung.
Menurut penggiat industri, latihan robot untuk menari melibatkan rakaman pergerakan manusia yang terperinci, pelaksanaan simulasi komputer dan pemindahan hasil simulasi kepada robot.
Bagi Fang Zhenghua, pengarah artistik yang menerajui persembahan Wu dan Unitree di AGT, melatih robot untuk menari seumpama “mencipta jiwa”.
“Pada mulanya, saya agak menentang pengaruh AI terhadap persembahan tarian atau pengaruh robot terhadap tarian,” katanya kepada AFP dari Shanghai.

Namun, pandangannya berubah selepas bekerja dengan jurutera berkemahiran tinggi yang disifatkannya sebagai “ibu” kepada robot berkenaan.
Koreografi Diprogramkan
Latihan robot memerlukan input daripada penari manusia dan banyak bergantung pada jurutera untuk menyelesaikan masalah, khususnya secara masa nyata ketika persembahan berlangsung.
“Ia memerlukan banyak pelarasan halus,” kata Liu Zhiquan, peneraju pengkomersialan di firma tangkapan pergerakan robotik BridgeDP, kepada AFP.
Rutin tarian selama 30 saat boleh mengambil masa berhari-hari dan kadangkala berminggu-minggu untuk disempurnakan, katanya, manakala penari perlu bersedia untuk berkompromi.
“Jika penari tidak mahir teknologi, banyak pengambilan semula perlu dilakukan,” katanya.
Wegers Wei dari studio tarian Limit Crew yang berpangkalan di Shanghai berkata, ketika mereka bentuk rutin untuk robot, dia mengelakkan pergerakan yang diketahuinya sukar dilakukan oleh robot.
“Jika kami mendapati sesetengah rutin tidak kelihatan baik apabila dilakukan oleh robot atau jika robot kelihatan melakukan kesilapan, kami akan mengubahnya,” kata Wei, yang robotnya memenangi tempat pertama dan kedua dalam kategori tarian jalanan pada World Humanoid Robot Games tahun ini.
Menurut Wei, robot cekap melakukan gerakan berpusing atau apa yang dikenali penari jalanan sebagai gerakan kuasa kerana ia “hanya memerlukan pelarasan kuasa motor dan daya kilas pada lengan”.
Bagaimanapun, rutin yang memerlukan fleksibiliti badan amat sukar dilakukan oleh robot, katanya.
Satu lagi kelemahan ialah keupayaan mengikuti muzik.
Kebanyakan persembahan tarian robot menggunakan gerakan yang telah diprogramkan.
Berbeza dengan manusia, mesin berkenaan tidak boleh melakukan improvisasi atau “membuat pelarasan di tempat kejadian” sekiranya muzik berubah secara tiba-tiba, kata Wu Yufei.
Walaupun masyarakat umum di China kebanyakannya melihat tarian robot sebagai hiburan, penggiat industri pula menganggapnya sebagai peluang untuk mempamerkan reka bentuk, keupayaan dan kebolehpercayaan robot.
“Itulah sebabnya semua orang begitu berminat untuk melakukan tarian berkemahiran tinggi seperti ini,” kata Guo Renjie, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kejuruteraan robotik Zeroth.
Laporan Morgan Stanley baru-baru ini mengunjurkan pasaran robot humanoid China boleh mencapai nilai AS$2 bilion tahun ini. – AFP





