SRI AMAN: Kerajaan Sarawak mengagih bantuan RM950,000 kepada dua gereja besar dan enam gereja kecil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan di bawah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
Bantuan berbentuk cek berkenaan diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menerusi Program Randau Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bersama Komuniti di Rumah Merawie, Gua Ming pada Isnin lalu.
Empat dari lapan penerima bantuan Fasa I 2020 UNIFOR berkenaan adalah All Saint Chapel di Gua, Saint Peter Chapel di Kubau, Pantu, Chapel Saint Maria di Panggil dan Saint John Chapel di Melugu Skim.
Manakala, baki empat penerima lagi adalah Saint Andrew Chapel di Sungai Ai, Gereja Saint Paul di Banting, Lingga, Gereja Saint Martin di Lachau, Pantu dan Chapel Saint James di Sungai Besai Asal juga di Pantu.
Di bawah senarai penerima UNIFOR ini, Gereja Saint Paul di Banting dan Gereja Saint Martin di Lachau masing-masing menerima bantuan sebanyak RM200,000 bagi tujuan bina semula, baik pulih serta pembinaan jalan simen.
Manakala, All Saint Chapel di Gua menerima bantuan RM150,000 bagi tujuan naik taraf pusat ibadat mereka dengan baki penerima yang lain masing-masing menerima bantuan sebanyak RM80,000.
Penerima bantuan UNIFOR bagi nilai sama (RM80,000) ialah Chapel Saint Peter (baik pulih), Chapel Saint Maria (pembinaan), Chapel Saint John (baik pulih serta bayaran balik), Chapel Saint Andrew (baik pulih) dan Chapel Saint James (bina semula).