BETONG: Seorang warga emas berusia 79 tahun dikhuatiri hilang selepas keluar ke kebun berhampiran rumah panjang di Rumah Empaling Jelang Spak, Ulu Layar, di sini, sejak pagi semalam.
Mangsa, Nawie Jabing, dilaporkan keluar ke kebun di seberang jalan berhampiran rumah panjang kira-kira 6.30 pagi semalam, namun tidak pulang sehingga laporan polis dibuat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, usaha mencari mangsa yang dilakukan penduduk sebelum ini gagal menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaannya.
Susulan laporan diterima, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi pada 11.13 pagi hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut sebelum pasukan tiba di lokasi kejadian pada 11.52 pagi.
Operasi pencarian kemudian dimulakan kira-kira 12.10 tengah hari dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Pasukan SAR menjalankan pencarian di kawasan kebun mangsa yang terletak berhampiran rumah panjang dengan radius sehingga 500 meter.
Dalam operasi tersebut, pasukan turut menemukan sebilah parang dipercayai milik mangsa, namun sehingga operasi ditangguhkan petang tadi, tiada petunjuk baharu mengenai lokasi mangsa ditemukan.
Operasi yang melibatkan tiga anggota BBP Betong bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda itu turut mendapat bantuan tiga anggota PDRM, empat anggota APM serta kira-kira 60 penduduk kampung.
Menurut PGO JBPM Sarawak, operasi hari pertama ditangguhkan pada 5.00 petang selepas tiada petanda atau petunjuk baharu ditemui.
“Operasi pencarian akan disambung semula esok, 15 Ogos 2026,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan Nawie Jabing diminta segera menghubungi pihak berkuasa bagi membantu usaha pencarian mangsa.
Oleh Adi Safarman





