PUTRAJAYA: Penggerak komunikasi perlu merancang strategi komunikasi bersifat responsif, bertindak lebih awal dan pantas terhadap isu semasa yang dibangkitkan rakyat agar dapat menyampaikan maklumat secara berfakta, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.
Beliau berkata jentera komunikasi kerajaan perlu sentiasa berada selangkah di hadapan dalam merencanakan penyampaian maklumat kerajaan dengan tepat dan pantas serta difahami seluruh Keluarga Malaysia.
“Pelaziman minda juga menjadi keperluan untuk mempersiapkan minda rakyat agar dapat menerima inisiatif atau keputusan yang dilaksanakan kerajaan.
“Penyampaian naratif-naratif ‘feel good factor’ juga perlu dilaksanakan secara berterusan agar dapat mempertingkat imej dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya ketika merasmikan Taklimat Semasa Siri I/2022 di sini semalam.
Taklimat anjuran K-KOMM itu dihadiri kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan bagi memberi penjelasan dan kefahaman yang jitu agar dapat menyebar luas maklumat secara menyeluruh dan berkesan kepada segenap lapisan masyarakat.
Menurutnya, antara ‘feel good factor’ atau suatu yang menggembirakan dan positif yang boleh dikongsi dengan rakyat ialah keputusan kerajaan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram, serta mengekalkan dasar subsidi barangan tertentu agar rakyat tidak terkesan dengan inflasi.
“Faktor yang menyenangkan dan ‘success stories’ sebegini wajar disebar luas kepada rakyat bagi meredakan kegusaran di samping meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tindakan-tindakan yang sedang diusahakan kerajaan,” katanya.
Mengakui limpahan maklumat di media sosial memberi impak yang pelbagai terhadap isu semasa, Mohammad berkata sebarang serangan komunikasi itu dapat diatasi sekiranya penggerak komunikasi menggunakan strategi komunikasi yang tepat pada masa yang sesuai.
Katanya penggerak komunikasi perlu sentiasa siap siaga menyebar luas maklumat terkini agar penyampaian maklumat ditembusi hingga ke akar umbi selain meredakan kebimbangan rakyat terhadap isu terbabit.
Katanya penggerak komunikasi memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda nasional terutamanya aspirasi Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Andalah penghubung antara kerajaan dan rakyat. Anda juga ejen di lapangan yang perlu sentiasa mempromosikan Keluarga Malaysia bagi memastikan keluarga besar kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam suasana mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’,” katanya.
Beliau juga mahu penggerak komunikasi meyakinkan rakyat bahawa konsep Keluarga Malaysia bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata dengan menzahirkan konsep terbabit di lapangan melalui pelbagai program berteraskan nilai Keluarga Malaysia agar aspirasi tersebut tercapai.
Mohammad berkata rakyat memerlukan pemahaman tentang objektif penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.
“Pasukan ini ditubuhkan bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan untuk menyelesaikan isu berkaitan bekalan makanan dan inflasi khususnya dengan lebih efisien bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan pada 29 Jun lepas itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. – Bernama