Kerjasama PKD-NADI perluas akses perkhidmatan komuniti luar bandar

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil melawat Galeri Usahawan NADI yang menghimpunkan dan mempromosikan produk usahawan NADI dari seluruh negara.

CYBERJAYA: Kerjasama strategik antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) diperkukuh bagi memperluas akses masyarakat, khususnya di luar bandar, kepada program pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran, keusahawanan serta perkhidmatan komuniti.

Usaha itu diperincikan menerusi Bengkel Kerjasama Strategik PKD-NADI yang berlangsung selama dua hari dengan menghimpunkan wakil pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Dato Seri Fahmi Fadzil hadir pada sesi pembukaan bengkel berkenaan hari ini.

Bengkel itu bertujuan memperincikan penyelarasan serta memperkukuh hala tuju kerjasama antara PKD dan NADI dalam meningkatkan capaian perkhidmatan serta program pembangunan komuniti.

Sesi berkenaan menghimpunkan wakil Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkaitan.

Antara perkara yang diteliti ialah pendekatan untuk memperkukuh fungsi dan penyelarasan antara PKD dengan NADI, selaras dengan pendekatan keseluruhan kerajaan.

GALERI Usahawan NADI menyediakan ruang pemasaran dan jualan secara fizikal kepada usahawan, di samping memperkenalkan hasil produk komuniti NADI.

Pendekatan itu bertujuan mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan capaian perkhidmatan dan program pembangunan komuniti.

Pelbagai isu, cabaran dan cadangan turut dibincangkan bagi membentuk model kerjasama PKD-NADI yang lebih berkesan.

Ia termasuk perkongsian kemudahan, penyelarasan program komuniti serta pengukuhan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.

Hasil perbincangan bengkel berkenaan akan dijadikan input kepada kedua-dua kementerian dalam memperincikan kerangka pelaksanaan serta langkah susulan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Pada masa ini, terdapat 1,099 NADI di bawah Kementerian Komunikasi dan 191 PKD di bawah KKDW di seluruh negara yang memainkan peranan dalam pembangunan serta pemerkasaan komuniti, khususnya masyarakat luar bandar.

NADI kini mempunyai lebih dua juta pengguna dan melaksanakan Program Perkhidmatan Pintar NADI dalam lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta inisiatif kerajaan.

Sementara itu, PKD telah melaksanakan lebih 29,000 program yang memberi manfaat kepada lebih 746,000 penduduk luar bandar dalam tempoh lima tahun.

Model NADI turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) 2025 bagi kategori Pembangunan Kapasiti.

NADI juga diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) ke-16 dunia oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Mac 2026.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan pendekatan NADI dalam pembangunan kapasiti dan transformasi digital komuniti, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan model kerjasama PKD-NADI.