KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk memajukan ASEAN digital yang dipercayai, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan menerusi M360 ASEAN 2026 yang julung kali diadakan.
Menteri Komunikasi Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata, hala tuju Malaysia adalah jelas, iaitu untuk menterjemahkan kesalinghubungan kepada keupayaan, keupayaan kepada keyakinan, dan kemajuan negara kepada kekuatan serantau.
Beliau berkata, ASEAN berpeluang meraih manfaat digital yang besar susulan pemuktamadan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) pada Mei 2026, dengan ekonomi digital rantau ini diunjurkan mencecah sehingga AS$2 trilion menjelang 2030, sekiranya dilaksanakan dengan berkesan.

“Malaysia membawa pengalamannya sendiri dalam memperkukuh infrastruktur, kepercayaan dan keupayaan digital ke dalam perbincangan serantau ini.
“Liputan Internet di kawasan berpenduduk telah mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai 2026 di bawah JENDELA, manakala pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 memperkukuh kebertanggungjawaban platform dan perlindungan pengguna,” katanya.
Beliau berkata di peringkat serantau, Kerangka Kemahiran 5G ASEAN dan Platform Pembangunan Kapasiti yang diterajui MCMC melalui Akademi MCMC telah diiktiraf sebagai Projek Pemenang pada Anugerah WSIS 2026.
Projek ini menyokong pembangunan keupayaan digital dan bersedia untuk masa hadapan di kesemua 11 Negara Anggota ASEAN.

Persidangan bertemakan ‘Integrasi Digital Dipercayai Memacu Masa Depan ASEAN yang Terhubung’ di Kuala Lumpur, semalam dan hari ini dianjurkan oleh GSMA dengan sokongan Kementerian Komunikasi, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertindak sebagai rakan penganjur.
Persidangan ini yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri bertujuan bagi memperkukuh dialog serantau mengenai kesalinghubungan, inovasi dan ekosistem digital yang selamat dan dipercayai.
Selaku rakan penganjur, MCMC menyumbangkan pengalaman pengawalseliaan dan sektor Malaysia kepada M360 ASEAN, di samping memperoleh pandangan daripada kerajaan, pengawal selia dan industri di seluruh rantau ini.
Melalui M360 ASEAN, Kementerian Komunikasi dan MCMC akan terus menyokong kerjasama serantau yang memperkukuh kesalinghubungan, membina kepercayaan digital dan membolehkan inovasi yang bertanggungjawab demi masa depan bersama ASEAN.


