Sampah terbakar hampir sambar dua rumah di Taman Tunku

Facebook
WhatsApp

MIRI: Kebakaran sampah di belakang sebuah rumah di Taman Tunku di sini petang tadi hampir merebak dan memusnahkan dua rumah berhampiran sebelum berjaya dipadamkan.

Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, sebuah rumah mengalami kerosakan sekitar dua peratus, manakala sebuah lagi rumah terjejas empat peratus akibat bahang kebakaran.

KEBAKARAN… Kebakaran timbunan sampah di belakang sebuah rumah di Taman Tunku hampir merebak ke dua rumah berhampiran sebelum berjaya dikawal.

Menurut Pusat Gerakan Operasi, sepasukan anggota dari  Balai Bomba dan  Penyelamat Miri Sentral dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan timbunan sampah di belakang rumah.

“Api bagaimanapun telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pemilik rumah sebelum ketibaan pasukan bomba.

PERIKSA…Anggota BBP Miri Sentral menjalankan pemeriksaan di kawasan kebakaran selepas api yang melibatkan timbunan sampah di belakang rumah di Taman Tunku, Miri berjaya dipadamkan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.

“Anggota kemudian menjalankan pemeriksaan rapi di kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan api marak semula sebelum operasi ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.

Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran masih belum dikenal pasti.

Oleh Liong Chai Ling

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.