MUKAH: Program derma darah yang telah diadakan disini baru-baru ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada penduduk tempatan.
Sebanyak 35 paket darah berjaya dikumpul pada pogram yang berlangsung di Unit Perkhidmatan Tabung Darah Hospital Mukah(UPTDH) berkenaan.
Program tersebut merupakan anjuran bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Mukah(AADK Mukah) dan UPTDH Mukah dan dibantu Skuad Antidadah Mukah.
Menurut Pegawai AADK Mukah, Felynora Joseph Na, ia dilaksanakan sempena dengan Hari Derma Darah Sedunia dan Hari Bapa.
“Kami menganjurkan ini sempena dengan Hari Derma Darah Sedunia yang jatuh pada 14 Jun dan Hari Bapa 2021 pada 20 Jun nanti. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Bapa’ kepada semua yang bergelar seorang Ayah atau Daddy,” ujarnya.
Beliau bersyukur kerana sambutan amat menggalakan dan percaya kalau bukan masa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) mungkin lebih ramai lagi yang menyertainya.
“Saya difahamkan mereka yang mendafter pada program ini adalah 49 orang, namun cuma 35 sahaja yang boleh menderma. Terima kasih kepada penderma dan juga kepada yang tak boleh menderma pada atas sebab tertentu, niat murni mereka harus dihargai, dan jangan putus asa, cuba lagi lain kali. Dan semestinya juga kepada semua yang terlibat dalam program ini,” ujar Felynora yang juga menderma pada hari tersebut.
Felynora turut menyatakan bahawa selain menderma darah, mereka juga mengedarkan risalah informasi mengenai penyalahgunaan dadah kepada yang hadir.
“Antara objektif program ialah menanam semangat kesukarelaan menerusi aktiviti amal bakti, mempromosi aktiviti sihat, membantu individu memerlukan bekalan darah dan juga menyebar input kesedaran penyalahgunaan dadah,” katanya lagi.
Merupakan aktiviti sosial, ia diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu menampung bekalan darah di Hospital Mukah tersebut.
Selain Felynora, juga kelihatan pada aktiviti kemanusiaan yang berlangsung di Tabung Darah berkenaan ialah Ketua BahagianTabung Darah Hospital Mukah, Amir Azizi dan staf-staf.
Oleh HENRY B SIYU