MARUDI : Sambutan Hari Wanita Sarawak Peringkat Daerah Marudi diraikan dalam suasana sederhana ekoran penularan wabak Covid-19.
Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong berkata sambutan Hari Wanita tahun ini dilaksanakan menggunakan kaedah norma baharu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard ( SOP).
Katanya, sebagai pengisian Hari Wanita yang disambut semalam terutama bagi peringkat daerah Marudi lebih menjurus kepada tayangan video yang disiarkan secara ‘live streaming’ dari Borneo Covnention Centre Kuching (BCCK).
Jelasnya tema Hari Wanita, ‘Wanita Sarawak Dalam Digital’ adalah bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita Sarawak dalam bidang digital dan sebagai persediaan di era revolusi perindustrian 4.0.
Tegasnya revolusi perindustrian 4.0 berkaitan dengan digital dan semua ini adalah asas digital ekonomi.
Beliau bangga sambutan Hari Wanita di daerah ini dengan wanita memakai pakaian tradisional masing-masing yang kelihatan cukup unik berbanding daerah lain, yang disambut secara serentak semalam.
“Marudi yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, hidup dalam suasana aman dan harmoni dan kita tunjukan bahawa kita memang unik dari daerah lain,” katanya berucap sempena Hari Wanita di bilik Seminar, dewan Suatah Baram d sini semalam.
Lebih 80 wanita pelbagai kaum hadir pada majlis tersebut dan turut hadir, Ketua Polis Daerah ( KPD) Baram, Jo Hang dan Ketua Masyarakt Cina, Pemanca Wong Kiog Ching.
Pada majlis berkenaan penyamapaian sijil penghargaan kepada persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan turut disempurnakan.