SIBU: Isu banjir yang melanda beberapa kawasan di bandar ini mencerminkan kelemahan infrastruktur asas, terutamanya membabitkan sistem jalan raya dan perparitan.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling berkata, beliau menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.5 juta yang diumumkan Premier Sarawak bagi menaik taraf Jalan Ling Kai Cheng baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa banyak jalan lain di kawasan rendah turut memerlukan penambahbaikan segera bagi mengurangkan risiko banjir.
“Banjir teruk di Jalan Maaw (Tebing Barat Sibu), yang menghubungkan Engkilo ke Sungai Sadit, telah menjejaskan kehidupan harian penduduk tempatan.
“Ramai yang tidak dapat ke bandar dan tempat kerja.
“Jalan ini amat memerlukan penaiktarafan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ling turut melahirkan kebimbangan mengenai benteng kawalan banjir di Lebaan, Tebing Barat, yang didapati tidak berfungsi dengan baik.
Menurutnya, setiap kali paras air meningkat, kawasan sekitar sering mengalami banjir, sekali gus menjejaskan keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk segera menambah baik serta menyelenggara benteng tersebut, selain merancang semula sistem kawalan banjir di kawasan terbabit.
Pada masa sama, Ling berpandangan bahawa peruntukan RM2.5 juta yang diumumkan adalah tidak mencukupi untuk menangani kesemua jalan yang terjejas.
“Jalan Maaw merupakan laluan utama dengan jumlah trafik yang tinggi.
“Ia perlu dinaik taraf serentak dengan jalan-jalan lain yang turut terjejas,” katanya.
Beliau turut menyeru Majlis Perbandaran Sibu, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran agar memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf jalan dan sistem perparitan.
“Agensi-agensi berkaitan perlu segera mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan dalam tahun ini juga, tanpa menunggu kejadian banjir seterusnya sebelum bertindak,” tegasnya.
Oleh Tarani Lanting