
PETRA JAYA: Bahagian Samarahan bakal menjadi tumpuan ribuan belia dari seluruh negeri apabila dipilih sebagai tuan rumah sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 yang akan berlangsung dari 10 hingga 16 Ogos depan dengan pelbagai pengisian berteraskan pembangunan belia, sukan dan keusahawanan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan tahunan itu bukan sekadar platform meraikan golongan muda, malah menjadi medan memperkasakan potensi belia sebagai pemimpin masa depan negeri.
Katanya, penganjuran tahun ini dijangka menghimpunkan lebih 7,000 peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pertubuhan belia, penjawat awam, pekerja sektor swasta serta orang ramai.
“Minggu Belia Sarawak bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi menjadi platform untuk mengiktiraf dan memperkasa belia melalui penyertaan dalam aktiviti sukan, rekreasi, keusahawanan serta pembangunan bakat yang mampu memberi impak positif kepada komuniti,”
Beliau berkata demikian pada sidang media sambutan Minggu Belia Sarawak 2026, di Bangunan Baitulmakmur II , di sini, hari ini.

Menurut beliau, majlis perasmian akan diadakan pada 15 Ogos depan di Dewan Suarah Samarahan dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sambutan tahun ini masih mengekalkan tema ‘Belia Aspirasi Kita’, yang mencerminkan peranan belia sebagai harapan negara, pemacu perubahan serta aset penting dalam menentukan masa depan Sarawak dan Malaysia.
Sepanjang penganjuran, sebanyak tiga komponen utama akan diketengahkan iaitu Youth Champion, Youth X-Tive dan Youth Marketplace yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada golongan belia.
Antara pengisian di bawah komponen Youth Champion ialah bengkel tinju bersama legenda tinju negara, Sapok Biki dan Kilat Boy, sesi kesihatan mental, Ekspo Belia, Kem Belia, Aktiviti Panjat Tembok Belia, Program Kemahiran dan Kreativiti Belia, selain pertandingan Bakat Belia serta Konsert Belia Sarawak.
Bagi komponen Belia X-Tive pula, pelbagai aktiviti akan diadakan di pekarangan Dewan Suarah Samarahan, antaranya Permainan Warisan, Larian Santai Belia, Kayuhan Santai Belia, e-Sukan serta pertandingan Aerobikthon.
Pada masa sama, Youth Marketplace akan menghimpunkan 30 gerai usahawan belia yang menawarkan pelbagai produk tempatan termasuk makanan dan minuman, pakaian, hasil pertanian serta barangan kraf dan perhiasan.
Abdul Karim berkata, acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah Belia Sarawak bagi kategori individu lelaki, individu wanita dan persatuan belia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta pencapaian golongan belia dalam pembangunan negeri.
“Penganugerahan ini bukan sahaja menghargai jasa dan pencapaian mereka, malah menjadi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk terus menyumbang kepada pembangunan Sarawak serta tampil sebagai ikon belia di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Mawat, Faris Malek, Hairee Francis, Raquel Tan, Hijrah Yahya, Firdaus Materang dan JayC Steleto, selain penampilan artis dari Semenanjung iaitu Afiq Syazwan dan Baby Shima.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 bagi menyokong usaha kerajaan negeri memperkasa pembangunan belia melalui pelbagai program yang telah dirancang.
Oleh Shahrul Qaizat