
BINTULU: Salvation Army Bintulu terus komited menyalurkan bantuan kemanusiaan apabila tampil menghulurkan sumbangan awal kepada mangsa kebakaran di Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong yang berlaku pada 7 April lalu.
Dalam insiden itu, sebanyak 16 rumah setinggan dilaporkan musnah sekali gus mengakibatkan seramai 92 penduduk, termasuk 27 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal.
Menyedari keperluan mendesak, Salvation Army Bintulu melalui Pusat Komunitinya telah tampil mengagihkan sumbangan awal berupa makanan, barangan harian dan keperluan asas.
Pegawai Kor Salvation Army Bintulu, Kapten Daniel Lim berkata bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada misi organisasi itu membantu masyarakat pada waktu yang memerlukan.
“Bantuan yang kami salurkan bukan hanya untuk memenuhi keperluan asas, tetapi untuk menyampaikan mesej bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau turut menekankan komitmen jangka panjang Salvation Army dalam memastikan kelangsungan bantuan termasuk melalui pemantauan berterusan dan kerjasama dengan pemimpin komuniti.
“Kami percaya bahawa dengan usaha kolektif, mangsa boleh bangkit semula dengan lebih cepat.
“Oleh itu, kami menyeru lebih ramai pihak tampil menyumbang, sama ada dalam bentuk dana, barangan, atau khidmat sukarelawan,” tambah beliau.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Kapten Daniel Lim di talian 01114029741.
Oleh Carolyne Utih