KUCHING: Gara-gara penyalahgunaan dadah jenis syabu seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM2,800 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Nur Na’aila Abdullah, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengambil dadah Methamphetamine di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar 3.10 petang pada 24 Ogos lalu.
Tertudah didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Zubaidah memerintahkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.
Berdasarkan fakta kes, saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah semasa ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuching dan sampel urin dibawa ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak dan laporan mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh NICKELYSON LAKUN