RASMI… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama tetamu kehormat lain melakukan
simbolik perasmian pecah tanah Projek Kemudahan Jualan Gas Tambahan Bintulu 2 (BAGSF-2) di Tapak Projek
BAGSF-2 di Tanjung Kidurong, semalam.
BINTULU: Sarawak mengenal pasti tiga lagi bidang kerjasama dengan Petronas, yang bakal menggandakan saiz ekonomi daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030.
Tanpa mendedah tiga bidang itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata salah satu yang mempunyai masa depan yang cerah adalah pengeluaran bahan api penerbangan.
Ini katanya, berikutan lawatan beliau ke kilang penyelidikan Petronas di Kidurong baru-baru ini.
“Tidak perlu saya dedahkan (tiga bidang kerjasama dengan Petronas) buat masa ini tetapi biarlah kita bincang dulu.
“Saya yakin ketiga-tiga sektor ini akan mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Kemudahan Jualan Gas Tambahan Petronas Bintulu (BAGSF-2) di sini semalam.
BAGSF-2 terletak di kawasan seluas 70 hektar yang dilengkapi bangunan pentadbiran, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti, direka bentuk dengan kemampuan untuk menyalurkan sehingga 390 juta kaki padu standard sehari (mmscfd).
Kerjasama itu, yang membabitkan penggunaan teknologi terkini dan akan membantu dalam mengawal isu pelepasan karbon, boleh meletakkan Sarawak serta Malaysia di peringkat antarabangsa dengan lebih baik dalam konteks minyak dan gas termasuk tenaga boleh diperbaharui.
Abang Johari berkata bagi mencapai negeri maju menjelang 2030, ekonomi Sarawak perlu berkembang secara purata pada lapan peratus setahun sehingga 2030.
Beliau juga memberitahu bahawa Petronas akan membekalkan gas asli kepada Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) dan Sarawak Energy Bhd (SEB) tahun depan menerusi pembangunan kemudahan penghantaran gas Tanjung Kidurong.
Katanya, Projek Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah bukti Sarawak mempunyai keupayaan untuk bergerak lebih jauh dalam industri minyak dan gas.
Katanya, ekonomi Sarawak kekal teguh, ketiga terbesar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sesuatu yang membanggakan bagi rakyat negeri ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata pembangunan BAGSF-2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam komitmen syarikat petroleum negara untuk bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi pertumbuhan mampan industri minyak dan gasnya.
“Projek ini menandakan satu lagi kejayaan penting, bukan sahaja dalam usaha Petronas untuk merealisasikan aspirasi impian untuk menjadi negeri maju menjelang 2030, ia juga membantu Sarawak dalam memperkasa industri gas dan minyak sendiri khususnya sektor petrokimia di Sarawak Petchem,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik, dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian antara.
Oleh CAROLYNE UTIH