Sejarah penduduk Kuching

Facebook
WhatsApp

PADA hari ini, Kuching dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum. Kepelbagaian kaum ini bukan sahaja tidak menghalang perkembangan bandar raya tersebut, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang harmoni.

Semangat saling menghormati, bekerjasama dan hidup dalam suasana muhibah telah membolehkan setiap komuniti menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya, sekali gus menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang maju, aman dan makmur.

Sejarah demografi Kuching bermula daripada sebuah perkampungan kecil yang pada peringkat awalnya tidak mempunyai kepentingan yang signifikan kepada dunia luar.

Namun demikian, perkampungan tersebut berkembang pesat hasil usaha penduduknya, di samping perubahan dalam pentadbiran, pertumbuhan perdagangan dan penghijrahan pelbagai kelompok masyarakat yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan Kuching sehingga muncul sebagai sebuah bandar yang penting.

Perkampungan

Asal usul perkembangan Bandar Raya Kuching dapat dikesan melalui kewujudan perkampungan Melayu yang terletak di Sungai Sarawak. Kewujudan penempatan awal ini dibuktikan melalui catatan seorang pelawat Belanda yang melawat sungai tersebut pada 1823.

Beliau merekodkan bahawa kawasan utama penempatan tersebut didiami oleh kira-kira 100 orang Melayu dan terdapat tiga rumah yang dimiliki oleh masyarakat Cina. 

BANDAR Raya Kuching pada 1960.

Ketika itu penempatan di Kuching ini tidak begitu penting berbanding dengan Lidah Tanah yang menjadi pusat perdagangan utama di Sarawak. Kuching mula berkembang apabila bijih antimoni dijumpai di hulu Sungai Sarawak sekitar 1824.

Perkembangan ini membawa kepada kedatangan Pengiran Mahkota dari Brunei yang cuba menguasai bijih tersebut. Kehadiran beliau ini bersama-sama dengan pengikutnya yang terdiri daripada orang Melayu telah menetap di Kuching.

Bermula daripada perkembangan ini telah menarik minat orang Cina datang secara beramai-ramai ke Kuching. Selepas itu, datang pedagang-pedagang India Muslim ke Kuching. 

Walaupun keadaan ini menunjukkan bahawa Kuching menarik minat penduduk luar untuk datang ke Kuching tetapi kehidupan agak tidak selamat kerana sering berlaku serangan lanun dan kemudiannya perang saudara meletus.

Keadaan ini tidak menghalang pertambahan penduduk Kuching kerana kedatangan Pengiran Muda Hashim membawa ramai lagi pengikut beliau untuk tinggal menetap di Sarawak. Catatan awal orang Barat mengatakan bahawa penduduk ini tinggal di pondok-pondok tanah liat.

Keamanan

Selepas Raja James Brooke mengambil alih pentadbiran Kuching, keamanan berjaya dipulihkan, sekali gus mewujudkan suasana yang kondusif untuk perkembangan bandar.

Keadaan ini telah menarik lebih ramai penduduk untuk menetap di Kuching, termasuk orang Melayu dari kawasan sekitar seperti Sadong dan Samarahan yang berhijrah ke bandar tersebut.

Sementara itu, peristiwa pembunuhan Pengiran Muda Hashim di Brunei turut mendorong penghijrahan ramai pengikutnya ke Kuching. Penghijrahan ini telah meningkatkan jumlah penduduk Melayu di bandar tersebut.

Menjelang 1857, masyarakat Melayu dianggarkan mendominasi demografi Kuching dengan membentuk sekitar 80 hingga 90 peratus daripada keseluruhan penduduk bandar itu.

Di Kuching orang Melayu ini diketuai oleh golongan perabangan yang terdiri daripada keturunan Datu Patinggi Ali. Di samping itu, golongan pengiran juga terus menjadi sebahagian daripada komuniti di Sarawak meskipun pengaruh politik Kesultanan Brunei semakin merosot.

Orang Melayu ini kebanyakkannya bekerja dalam sektor pertanian dan pentadbiran kerajaan. Tidak kurang juga yang mempunyai peranan penting dalam sektor perniagaan dengan kemunculan golongan nahkoda.

Kedatangan

Pada sekitar pertengahan abad ke-19 pula menyaksikan kedatangan orang Jawa dan Boyan serta penduduk Sumatera ke Kuching. Orang Jawa dan Boyan ini dibawa masuk khusus untuk menjadi buruh dan adakala mereka ini menjadi pekerja dalam sektor pertanian dan penternakan. 

Orang Sumatera, yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Minangkabau, kebanyakannya dibawa masuk ke Sarawak untuk membantu pentadbiran Brooke. Selain sebagai pentadbir, mereka ini juga adalah peniaga yang hebat dalam masyarakat Melayu di Kuching.

Perkembangan Kuching sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan turut menarik kedatangan masyarakat Cina dari China, negeri-negeri Selat dan bahagian barat Borneo.

Migran Cina yang menetap di Kuching terdiri daripada pelbagai kelompok dialek seperti Hokkien, Teochew, Hakka, Kantonis, Hailam dan Chao’an, yang kemudiannya memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan perdagangan bandar tersebut.

Kedatangan masyarakat Cina telah membawa perkembangan ekonomi Kuching melalui pembukaan kira-kira 40 kedai pada 1844. Pertambahan premis perniagaan ini seterusnya merancakkan aktiviti perdagangan dan memperkukuh fungsi kawasan pasar di tebing Sungai Sarawak sebagai pusat kegiatan ekonomi bandar.

PERKAMPUNGAN orang Melayu di Kuching pada zaman dahulu.

Keharmonian

Satu lagi perkembangan penting dalam pembentukan masyarakat awal Kuching ialah kedatangan masyarakat India Muslim, khususnya yang dikaitkan dengan komuniti Moplah(Mappila) dari pantai Malabar, India Selatan.

Kehadiran mereka telah menambah kepelbagaian kaum dan menyumbang kepada perkembangan aktiviti perdagangan di Kuching.

Walaupun komuniti Moplah dikaitkan dengan amalan mazhab Syiah, hubungan mereka dengan masyarakat Melayu yang berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah kekal harmoni.

Tiada pertentangan yang berlaku antara kedua-dua komuniti tersebut. Sebaliknya, mereka saling menghormati amalan keagamaan masing-masing dan mempunyai masjid yang berasingan untuk menjalankan ibadah.

Pada peringkat awal, kebanyakan anggota komuniti Moplah hanya menetap di Kuching selama sekitar dua hingga tiga tahun sebelum kembali ke tanah air mereka setelah memperoleh kekayaan melalui aktiviti perdagangan.

Namun demikian, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang memilih untuk terus menetap di Sarawak, khususnya selepas membawa isteri dan keluarga mereka berhijrah ke Kuching.

Di samping kedatangan masyarakat Islam dari India, buruh-buruh Tamil turut dibawa masuk ke Sarawak pada penghujung abad ke-19 bagi memenuhi keperluan tenaga buruh dalam pelbagai sektor ekonomi.

Selain itu, masyarakat Sikh juga dibawa masuk oleh kerajaan Brooke untuk berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan dan penguat kuasa. Kehadiran kedua-dua kelompok ini bukan sahaja memenuhi keperluan pentadbiran dan ekonomi, malah turut menyumbang kepada kepelbagaian demografi masyarakat di Sarawak.

Pentadbiran

Sementara itu, masyarakat Eropah dibawa masuk oleh Raja James Brooke bagi membantu urusan pentadbiran kerajaan, di samping mendapat sokongan daripada pembesar dan masyarakat Melayu tempatan.

Bagaimanapun, bilangan masyarakat Eropah di Kuching pada ketika itu adalah kecil dan kehadiran mereka lebih tertumpu kepada pentadbiran serta beberapa bidang profesional.

Kepelbagaian kaum yang ada di Kuching ini menunjukkan toleransi yang cukup baik antara kaum. Malah, interaksi antara pelbagai komuniti telah mewujudkan proses pertukaran budaya, khususnya dalam aspek makanan.

Hal ini dapat dilihat melalui kemunculan dan penerusan pelbagai juadah yang menjadi identiti masyarakat Kuching pada hari ini, seperti mi jawa, laksa Sarawak, mi kolok, kuih vadih, rojak tambi dan tapir.

Amalan baik dalam kalangan penduduk Kuching ini membantu keharmonian dan kemajuan bandaraya tersebut sehingga ke hari ini.

Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Malaysia.