COSAFS2026 platform perkukuh kerjasama global tangani cabaran keselamatan makanan

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kenamaan menghadiri majlis perasmian Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS2026) di sebuah hotel, hari ini.

BINTULU: Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keselamatan Makanan (COSAFS2026) menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran keselamatan makanan melalui perkongsian penyelidikan, inovasi dan amalan terbaik.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kongres itu menghimpunkan penyelidik, penggubal dasar, pemimpin industri, usahawan dan pelajar untuk bertukar idea serta menjalin kerjasama yang mampu memperkukuh sistem makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan. 

“Kongres ini menyediakan platform antarabangsa kepada penyelidik, penggubal dasar, pemimpin industri, usahawan dan pelajar untuk bertukar idea, berkongsi amalan terbaik serta menjalin kerjasama yang bermakna. 

“Perbincangan sepanjang kongres ini bukan sahaja akan memajukan pengetahuan saintifik, malah menyumbang kepada pembentukan dasar yang lebih baik, industri yang lebih kukuh dan sistem makanan yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada COSAFS2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan delegasi dari pelbagai negara mencerminkan komitmen bersama dalam menangani cabaran keselamatan makanan global menerusi sains, inovasi dan kerjasama antarabangsa.

“Justeru, saya menggalakkan semua delegasi memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk membina jaringan, memulakan kerjasama penyelidikan dan meneroka penyelesaian yang dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, malah rantau ini secara keseluruhannya,” kata beliau.

Menurutnya, kerajaan Sarawak akan terus mempercepat usaha memodenkan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi, inovasi, pengkomersialan dan amalan pertanian mampan bagi memperkukuh rantaian nilai agromakanan, sekali gus menyokong aspirasi negeri menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

Turut hadir, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; timbalan-timbalan menteri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.