LIMBANG: Penyambungan Limbang kepada Grid Utama Sarawak menjadi langkah penting ke arah merealisasikan Grid Borneo, iaitu jaringan tenaga serantau yang berpotensi menghubungkan Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan akan menamatkan kebergantungan Limbang terhadap penjanaan tenaga diesel, sekali gus menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil, bersih dan mampan.
Menurutnya, menerusi pelaksanaan Projek Sambungan Grid Utara bahagian Lawas kini telah berjaya disambungkan kepada Grid Sarawak, manakala Limbang pula telah disambungkan kepada Grid Utama Sarawak pada tahun ini.

“Sambungan ini disokong oleh talian penghantaran 275 kilovolt (kV) antara Bunut-Medamit dan Medamit-Lawas, hasil pelaburan bernilai tinggi di bawah projek berkenaan.
“Menerusi penyambungan Limbang kepada Grid Utama Sarawak, rakyat di bahagian ini akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, berdaya harap dan mampan melalui sumber tenaga hidro yang mesra alam,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat pada majlis perasmian Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Kampung Nauran, semalam.
Abang Johari berkata, penyambungan grid berkenaan bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup rakyat, malah membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan industri, perniagaan dan pelaburan di Limbang.
Katanya, kerajaan Sarawak turut mempercepat pelaksanaan beberapa projek strategik lain termasuk Jambatan Sungai Limbang Kedua dan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang yang kini mencapai lebih 67 peratus kemajuan.
Menurut beliau, projek berkenaan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan serta penyampaian perkhidmatan kerajaan di bahagian itu.
“Projek-projek ini akan memperkukuhkan hubungan Limbang dengan bahagian lain di Sarawak, mempercepat pergerakan barangan dan manusia, selain membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pelaburan,” katanya.
Oleh Adeng Edrus





