
Datuk Len Talif Salleh.
KUCHING: Saingan untuk merebut jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kuota Bumiputera dijangka sengit.
Pemilihan akan diadakan sempena perhimpunan agung parti itu pada 14 hingga 16 Februari ini.
Salah seorang yang sudah membayangkan untuk turut bertanding bagi jawatan itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu bagaimanapun enggan memberi komen lanjut berhubung perkara tersebut.
”Borang pencalonan sudah dihantar, namun masih terlalu awal untuk saya memberi sebarang komen,” katanya ringkas.
Turut diuar-uarkan untuk turut bersaing ialah ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki.
Penyandang bagi Naib Presiden (Sayap Bumiputera) sekarang ialah Dato Sri Julaihi Narawi, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Annuar Rapaee, dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Keempat-empat mereka telah mengekalkan jawatan tanpa bertanding dalam pemilihan parti tiga tahun lalu.
Untuk rekod, PBB mempunyai sembilan jawatan naib presiden, termasuk tiga untuk Sayap Pesaka dan dua masing-masing dikhaskan untuk Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.
Penyandang Naib Presiden Sayap Pesaka ialah Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerald Rentap Jabu, dan Datuk Gerawat Gala.
Ketiga-tiga jawatan itu juga tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung yang lalu.
Sementara itu, tiga jawatan utama parti tidak ditandingi termasuk Presiden PBB, Datuk patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (bagi sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mewakili sayap Bumiputera.
Dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang jawatan itu tanpa bertanding.
Turut dijangka menjadi rebutan ialah 16 kerusi Majlis Tertinggi PBB bagi sayap Bumiputera.
Tarikh tutup penyerahan borang pencalonan bagi pemilihan PBB ialah pada 7 Februari lalu.
Oleh RYNNA SHA’ERRA