JULAU: Sekumpulan lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan sabung ayam bertempiaran lari sebaik polis tiba di kawasan lapang ladang, Nanga Lango, Entabai di sini semalam.
Bagaimanapun, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berumur 59 tahun ketika cuba melarikan diri semasa serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Julau.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, Deputi Superitenden Polis (DSP) Andam Sulin berkata, serbuan ke kawasan itu adalah berikutan maklumat diterima mengenai kegiatan aktiviti perjudian pertaruhan sabung ayam.
“Pada 22 Januari 2023 (Ahad), jam lebih kurang 1.30 petang, apabila pihak polis sampai di tempat kejadian, sekumpulan orang yang menyedari kehadiran pihak polis lari bertempiaran ke kawasan hutan berhampiran.
“Bagaimanapun, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki (suspek) berumur 59 tahun.
“Hasil serbuan turut berjaya merampas lima ekor ayam hidup, satu unit alat penimbang dan satu papan putih tertulis jadual pertaruhan,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.
Andam berkata, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.
“Jika disabitkan kesalahan, kesemua
kesemua suspek boleh dihukum di bawah seksyen 5(3) Ordinan yang sama dan membawa hukuman penjara tiga bulan atau denda RM500.
“Oleh itu, pihak polis ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama di kawasan Julau dan Pakan,” katanya.
Beliau menasihat orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.