SINGAPURA: Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura mengunjurkan ekonomi republik itu berkembang 0.1 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023 (S1 2023), lebih perlahan berbanding pertumbuhan 2.1 peratus yang dicatatkan pada S4 2022.
Anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebahagian besarnya berdasarkan data yang dikumpul dalam tempoh dua bulan pertama suku berkenaan – petunjuk awal pertumbuhan ekonomi dalam tempoh itu, tertakluk kepada semakan apabila data yang lebih komprehensif tersedia, kata MTI.
Pada asas pelarasan musim suku ke suku, kementerian berkata ekonomi Singapura menguncup sebanyak 0.7 peratus berbanding pengembangan 0.1 peratus pada S4 2022.
Mengenai prestasi sektoral, MTI berkata sektor pembuatan susut 6.0 peratus tahun ke tahun pada S1 2023, lebih rendah daripada penguncupan 2.6 peratus pada suku sebelumnya.
“Prestasi lemah sektor ini disebabkan penurunan keluaran merentasi semua kelompok/kluster pembuatan, kecuali kelompok kejuruteraan pengangkutan,” katanya.
Sementara itu, sektor pembinaan berkembang 8.5 peratus tahun ke tahun pada suku tersebut, meneruskan pertumbuhan 10.0 peratus pada S4 2022, disokong oleh pengembangan dalam pengeluaran pembinaan sektor awam dan swasta.
Antara sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan peruncitan serta sektor pengangkutan dan penyimpanan secara kolektif menguncup sebanyak 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 2.4 peratus pada S4 2022.
Pada masa sama, sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional meningkat 1.9 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 2.5 peratus pada suku sebelumnya.
Dalam pada itu, sektor penginapan dan perkhidmatan makanan, hartanah, pentadbiran dan sokongan serta sektor perkhidmatan lain meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun pada S1 2023, berbanding pertumbuhan 9.0 peratus pada S4 2022. – Bernama