KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, seiring dengan penurunan berterusan di Wall Street didorong oleh konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang berpanjangan dan harga minyak mentah yang tinggi memberi impak kepada sentimen, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.73 mata atau 0.21 peratus kepada 1,701.79 daripada 1,705.52 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka rendah 0.23 mata kepada 1,705.29.
Pasaran secara menyeluruh lemah dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 256 berbanding 164 manakala 295 kaunter tidak berubah, 2,116 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 283.38 juta saham bernilai RM144.77 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi indeks petunjuk pasaran turut sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang lemah, mencatatkan tekanan jualan secara meluas berikutan ketegangan yang berterusan di Asia Barat tanpa petunjuk keadaan akan berakhir dalam masa terdekat.
“Ketegangan berterusan di Asia Barat turut menyaksikan harga minyak mentah meningkat kepada paras tertinggi baharu, dengan minyak mentah Brent melebihi US$105 setong,” katanya kepada Bernama.
Pada peringkat domestik, Thong berkata FBM KLCI menurun hampir kepada paras 1,700 berikutan jualan asing yang meningkat.
“Oleh itu, bursa tempatan kekal kukuh dalam fasa pembetulan buat masa ini. Justeru, kami menjangka indeks mendatar dalam julat 1,700 hingga 1,710 mata hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 2.0 sen kepada RM10.48, Public Bank mendatar pada RM4.85, CIMB dan Tenaga Nasional, masing-masing menurun 2.0 sen kepada RM7.90 dan RM13.70 serta IHH Healthcare berkurangan 8.0 sen kepada RM7.81.
Saham diniagakan aktif termasuklah Top Glove meningkat 1.5 sen kepada 78 sen, Luster Industries kekal tidak berubah pada 3.5 sen, Silver Ridge naik 1.0 sen kepada 15.5 sen serta Zetrix AI dan Supermax, masing-masing menokok setengah sen kepada 25.5 sen dan 43.5 sen.
Kaunter paling untung diterajui oleh Henyuan Refining naik 13 sen kepada RM3.52, Petronas Chemicals dan Kerjaya Prospek, masing-masing meningkat 7.0 sen kepada RM4.89 dan RM3.59, Ta Ann menambah 6.0 sen kepada RM6.26 dan Unisem menokok 5.0 sen kepada RM4.35.
Kaunter paling rugi ialah Sunway Construction menurun 21 sen kepada RM7.70, Vitrox berkurangan 12 sen kepada RM9.35, Malaysian Pacific Industries merosot 10 sen kepada RM40.88, Press Metal Aluminium menyusut 9.0 sen kepada RM7.77 dan Kelington menurun 8.0 sen kepada RM8.57.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 76.06 mata kepada 17,824.54 dan Indeks FBM ACE merosot 18.81 mata kepada 5,293.63.
Indeks FBM Emas menurun 32.19 mata kepada 12,606.96, Indeks FBM Top 100 merosot 33.72 mata kepada 12,404.51 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 42.44 mata kepada 12,460.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 7.83 mata kepada 19,896.28 manakala Indeks Perladangan meningkat 14.67 mata kepada 9,463.78.
Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.73 mata kepada 188.15 manakala Indeks Tenaga naik 3.43 mata kepada 822.87.- Bernama





