

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024, yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam, merupakan satu pencapaian penting dalam kebebasan dan akauntabiliti media di negara ini, menurut Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA).
Presiden FSJA Ronnie Teo berkata rang undang-undang yang akan membawa kepada penubuhan Majlis Media ini menjadi bukti usaha mereka yang percaya kepada peranan penting landskap media yang bebas dan adil.
“Majlis ini akan memastikan pengamal media mematuhi piawaian tertinggi dalam etika kewartawanan, sekali gus melindungi kepercayaan masyarakat dan integriti profesion ini,” katanya ketika mengulas mengenai perkara itu hari ini.
Teo, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), turut memuji langkah untuk menyertakan wakil syarikat media, persatuan serta anggota dari Sabah dan Sarawak dalam lembaga majlis tersebut.
“Penubuhan majlis media bukan sekadar kemenangan bagi kebebasan media, malah satu langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih berinformasi dan berdaya saing. Kami menantikan mekanisme pemilihan ahli lembaga Majlis Media Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
RUU itu bagi menubuhkan MMM telah diluluskan di Dewan Rakyat semalam menerusi undian suara majoriti selepas dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Sementara itu, wartawan veteran dan Penasihat Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh, berharap majlis itu diberikan kuasa sebagai badan pengawal selia bagi memastikan etika kewartawanan tidak akan dikompromi dalam melaksanakan kebebasan akhbar.
“Majlis ini boleh mengawal bukan dalam erti kata menyekat kebebasan tetapi dari segi etika, terutamanya dalam keadaan kita berdepan dengan terlalu ramai ‘wartawan jelmaan’ di media sosial,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata majlis itu harus diberikan kuasa untuk bertindak terhadap mana-mana pengamal media yang menyebarkan berita palsu atau memainkan isu perkauman dan hasutan, serta menggubal garis panduan yang boleh dipatuhi oleh semua wartawan bagi membendung masalah tersebut.
“Pada masa kini, dengan kemunculan Kecerdasan Buatan (AI), banyak perkara memerlukan tahap kawalan tertentu demi kebaikan masyarakat dan industri media.
“Terlalu banyak berita palsu yang tersebar tanpa pengumuman rasmi tetapi sudah muncul pelbagai spekulasi…perkara ini perlu dihentikan,” katanya.– BERNAMA