SCHIPKAU, Jerman: Turbin angin tertinggi di dunia kini mencapai ketinggian penuh 365 meter di negeri Brandenburg, timur Jerman, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik pemaju projek Gicon.
Turbin yang terletak di Schipkau, kira-kira 100 kilometer di selatan Berlin yang dahulunya terkenal dengan aktiviti perlombongan arang batu itu mempunyai ketinggian hab 300 meter dan mencapai 365 meter hingga ke hujung bilah rotornya.
Persatuan Tenaga Angin Jerman turut mengiktirafnya sebagai turbin angin tertinggi di dunia.
Turbin itu hanya tiga meter lebih rendah berbanding menara televisyen Berlin setinggi 368 meter, struktur tertinggi di Jerman.
Kerja-kerja akhir tertangguh sejak beberapa hari lalu berikutan tiupan angin kencang, menyebabkan syarikat berkenaan terpaksa menangguhkan pengisytiharan rekod dunia itu.
Turbin berkenaan dijadual mula beroperasi pada November.
Projek itu dilaksanakan atas penugasan Agensi Persekutuan Jerman bagi Inovasi Disruptif dan direka untuk memanfaatkan tiupan angin yang lebih kuat serta konsisten pada altitud lebih tinggi.
Menurut Gicon, turbin itu mampu menjana kira-kira dua kali ganda tenaga berbanding turbin angin konvensional dengan diameter rotor yang sama.
Terletak di bekas kawasan perlombongan arang batu Lusatia, turbin itu dijangka mampu menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk membekalkan sehingga 7,500 isi rumah.
Rekod terdahulu bagi turbin angin yang dihasilkan secara komersial dipegang oleh sebuah turbin setinggi 285 meter di Bavaria. – Bernama




