LIMBANG: Dalam kemeriahan umat Islam menanti ketibaan 1 Syawal, satu insiden kebakaran telah memusnahkan dua rumah di Kampung Limpaong di sini, awal pagi tadi.
Kini, seramai 11 penghuni terdiri daripada dua lelaki, dua wanits salah seorang warga emas, enam kanak-kanak; tiga lelaki dan tiga perempuan dari dua rumah tinggal sehelai sepinggang.
Kebakaran menyebabkan penghuni yang mendiami rumah pertama, Suhaidi Sabtu, 54, mengalami kecederaan ringan iaitu melecur di bahagian leher, sementara yang lain dilaporkan sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian 1.26 pagi.
Seramai dua pegawai iaitu PgB Ramlan Marajan (Ketua Zon) dan Komander Operasi PPgB Clarence D.Primus Tiandon beserta lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 3 kilometer.
Enam anggota menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua anggota dalam sebuah van Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
Operasi pemadaman mengambil masa tiga jam. Bagaimanapun kebakaran terkawal pada 3.25 pagi.
Keseluruhan rumah pertama musnah dijilat api manakala rumah kedua 40 peratus terbakar.
Agensi lain yang turut berada di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SESCO).
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Oleh ADENG EDRUS