

MIRI: Sebuah rumah satu tingkat jenis tidak kekal di Kampung Sealine Lutong di sini musnah dalam kebakaran malam tadi, namun semua enam penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.48 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kira-kira 7.53 malam, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 15 x 10 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan secara defensif dengan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki bersama dua nozel.
“Sumber air diperoleh daripada parit berhampiran serta pam jentera sehingga api berjaya dikawal pada 8.15 malam sebelum dipadam sepenuhnya,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri ke tempat selamat dan tiada mangsa dilaporkan cedera.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera itu tamat sepenuhnya pada 8.40 malam.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Oleh Liong Chai Ling