BETONG: Rumah Panjang Raba Penyelanih di kawasan Ulu Layar dekat sini terputus hubungan berikutan limpahan air Sungai Batang Layar sejak awal pagi semalam.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PBK I Henry Ak Jugah, berkata, pihaknya mengesahkan sebuah rumah panjang serta sebuah sekolah telah terputus hubungan akibat jalan utama dinaiki air disebabkan hujun turun lebat sejak malam Rabu lalu.
“Rumah panjang terbabit terputus hubungan selepas jalan kampung yang menghubungkan dengan jalan utama sepanjang 100 meter dinaiki air kira-kira empat kaki.
“Seramai 50 penghuni daripada 20 pintu Rumah Kalong, Raba Penyelanih serta Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Mark, Batu Genting yang tidak beroperasi itu terjejas, dan terputus hubungan sejak awal pagi semalam.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dipindahkan setakat ini dan keadaan masih terkawal,” katanya.
Beliau berkata seramai tiga anggota BBP Betong telah menuju ke lokasi sebaik sahaja mendapat maklumat daripada kumpulan Whatsapp Bencana Alert Betong sekitar 11.10 pagi semalam.
“Kita (Bomba) telah mula siap sedia dengan mengarahkan anggota bersiap sedia 24 jam dan akan dikerahkan bila-bila masa jika perlu atau ada mangsa yang terpaksa dipindahkan,” ujar beliau.
Henry berkata, walaupun keadaan tersebut agak terkawal, namun pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.
“Buat masa sekarang, keanggotaan dan logistik sedia ada mencukupi, bagaimanapun jika bencana ini serius, kita akan mendapatkan bantuan anggota dan aset daripada balai-balai daerah lain yang tidak terlibat banjir,” katanya.
Oleh Adi Safarman