BETONG: Rumah Panjang Buloh Antu dekat Padeh di sini dilaporkan terputus hubungan setelah jalan utama menuju ke penempatan itu dinaiki air pada kedalaman kira-kira tiga meter di atas jambatan di situ pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong, Leftenan Muda (PA) Desem Samuel berkata kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat berlaku di sini sejak semalam menyebabkan berlaku limpahan air dari Sungai Layar.
“Pasukan petugas kami telah bertindak segera turun padang ke lokasi kejadian pada jam 6.05 pagi dan didapati air naik hingga menjejaskan bahagian dapur dan kawasan belakang rumah panjang di situ.
“Kejadian ini membabitkan 53 penghuni dari 17 Ketua Isi Rumah di situ dengan petugas bertindak mengambil maklumat dan menasihati mereka supaya sentiasa berjaga-jaga,” katanya.
Desem bagaimanapun berkata tiada Pusat Pemindahan Sementara dibuka berhubung kejadian banjir di Rumah Panjang Buloh Antu, Padeh setakat ini.
Sebaliknya, pihak APM Betong akan sentiasa melakukan pemantauan di situ dari semasa ke semasa.
Pemantauan terhadap kejadian banjir di rumah panjang pimpinan Tuai Rumah Cecelia William itu membabitkan seramai lima anggota APM Betong dan tiga anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia.
Oleh VALENTINE NGUMBANG