SIBU: Angin kencang yang melanda lewat petang semalam menyebabkan kerosakan teruk pada 16 unit rumah di Rumah Panjang Sebastian Ngalang, yang terletak di Batu 6 ½, Jalan Oya, di sini.
Tuai Rumah Sebastian Ngalang berkata, beberapa bumbung rumah tercabut sepenuhnya akibat kejadian itu.
“Angin yang datang secara tiba-tiba dan sangat kuat menyebabkan kami hanya mampu berdoa. Kini, 16 bilik rosak teruk dan 73 penduduk terjejas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata penduduk terpaksa berlindung di bahagian rumah yang tidak terjejas, sementara yang lain menggunakan ruang ruai sebagai tempat perlindungan sementara.
“Beruntung tiada kemalangan jiwa, namun kerosakan ini amat membebankan.
“Kami berharap pihak berwajib dapat memberikan bantuan segera untuk membaik pulih rumah panjang yang sudah berusia lebih 100 tahun ini,” katanya.
Sebastian turut meminta pihak berkuasa dan badan berkaitan untuk segera memberikan bantuan.
Menurutnya, bantuan kewangan dan bahan binaan sangat diperlukan untuk membaik pulih rumah panjang yang menjadi warisan generasi penduduk di kawasan itu.
“Rumah panjang ini bukan sahaja tempat tinggal kami, tetapi juga simbol sejarah dan kebudayaan masyarakat setempat.
“Kami benar-benar memerlukan bantuan untuk memulihkan keadaan. Dengan usia rumah panjang yang melebihi satu abad, kerosakan akibat bencana ini sangat sukar ditanggung oleh penduduk,” katanya lagi.
Oleh TARANI LANTING