
SIBU: Penduduk Rumah Panjang Banyan Mawan di Sungai Wong Ulu Mukah kini lebih bersedia menghadapi risiko kebakaran selepas rumah panjang mereka dilengkapi sebanyak 80 unit alat pemadam api jenis JE-50.
Penyerahan alat pemadam api itu dilakukan pada 14 April lalu menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.
Menurut Gira, inisiatif tersebut merupakan langkah awal penting bagi menghadapi sebarang kejadian kecemasan melibatkan kebakaran.
“Alat ini amat penting untuk tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak bomba. Saya juga menyeru penduduk agar sentiasa peka terhadap kepentingan memiliki dan menjaga peralatan ini dengan baik,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JKKK Rumah Panjang Banyan Mawan atas komitmen dan kerjasama mereka dalam memasang semua unit alat pemadam api itu secara sistematik di seluruh kawasan rumah panjang.
Langkah tersebut dijangka dapat meningkatkan kesiapsiagaan komuniti serta mengurangkan risiko kerugian akibat insiden kebakaran pada masa akan datang.
Sementara itu, Tuai Rumah Banyan Mawan ketika ditemui turut menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat berkenaan atas keprihatinannya terhadap aspek keselamatan penduduk di kawasan itu.
“Saya mewakili seluruh penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang ini ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ir. Christopher Gira Sambang yang sangat mengambil berat tentang keselamatan dan keselesaan penduduk di kawasan ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting