
MIRI: Sebuah rumah dua tingkat yang tidak berpenghuni di Lorong 5, Jalan Dato Permaisuri 2, RPR 2 di sini, terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.17 tengah hari.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersama bantuan BBP Miri bergegas ke lokasi dan tiba pada 12.31 tengah hari, iaitu kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal dua tingkat yang tidak berpenghuni dengan api memusnahkan bahagian atas dan bawah bangunan.
“Rumah berkeluasan kira-kira 40 x 120 kaki persegi itu dianggarkan terbakar sebanyak 60 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua nozel, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling