KUCHING: Anak muda bukan sekadar pemimpin masa depan, sebaliknya sudah memainkan peranan dalam membentuk hala tuju Sarawak ketika ini, kata Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Morshidi Fredrick.
Menurutnya, generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk memimpin, khususnya dalam menghadapi perubahan pesat yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, media sosial, industri kreatif serta industri baharu.
“Paling penting, kita perlu memberi golongan muda peluang dan ruang untuk memimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Institut Kepimpinan Kontemporari (ICL) sempena Majlis Makan Malam Alumni Kursus Profesional Kepimpinan dan Pengurusan (PCCL) di Kuching, hari ini.
Morshidi berkata, kepimpinan masa kini tidak lagi hanya berkisar kepada kedudukan, kuasa atau hierarki, sebaliknya perlu berteraskan keupayaan mendengar, memperkasa, membina kepercayaan, bekerjasama dan menghargai kepelbagaian.
Pendekatan itu, katanya, amat relevan dalam konteks Sarawak yang mempunyai kepelbagaian etnik, budaya dan komuniti, yang menjadi antara kekuatan utama negeri.
Seiring aspirasi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata generasi muda perlu diperkasa sebagai usahawan, inovator dan pemimpin digital yang mampu bersaing di peringkat global, selain memastikan peluang pembangunan turut dirasai masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Dalam aspek sosial, setiap komuniti dan kumpulan etnik mempunyai sumbangan tersendiri, manakala kepimpinan inklusif mampu merapatkan hubungan antara masyarakat bandar, luar bandar dan pedalaman.
Pada masa sama, generasi muda perlu berada di barisan hadapan dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan bertanggungjawab, pemuliharaan dan pembangunan mampan bagi memastikan kemajuan Sarawak tidak mengorbankan kekayaan alam semula jadinya.
Morshidi turut menekankan bahawa kejayaan PCCL tidak seharusnya diukur berdasarkan ilmu yang diperoleh peserta semata-mata, tetapi sejauh mana pengetahuan dan jaringan itu diterjemahkan kepada sumbangan kepada masyarakat.
Antara usaha alumni PCCL termasuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Daro, selain perancangan memperluaskan sumbangan kepada komuniti Bangsamoro di selatan Filipina menerusi perkongsian ilmu, pembangunan komuniti dan pemerkasaan belia.
“Leadership is not about creating followers; leadership is about creating more leaders,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan ICL pula menyediakan platform untuk membangunkan pemimpin dinamik, memperkukuh keupayaan kepimpinan kontemporari serta menggalakkan inovasi, pemikiran baharu dan kepimpinan secara inklusif dan kolaboratif.
Institut berkenaan turut diharap menjadi pusat pembangunan kepimpinan, perkongsian ilmu dan kerjasama bukan sahaja untuk Sarawak, malah sebagai platform penglibatan di peringkat serantau.
Oleh Afiq Sallehi



