

SARIKEI: Usaha kerajaan memperkasakan infrastruktur luar bandar terus terserlah apabila beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap diserahkan secara rasmi kepada komuniti setempat, hari ini.
Penyerahan tapak projek di beberapa lokasi sekitar Sarikei itu turut dihadiri oleh Kapitan Ling Dien Yong, yang mewakili Ahli Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Antara projek RTP siap yang telah diserahkan adalah kerja-kerja penyimenan lantai 15 pintu di Rumah Jessica, Sebangkoi; penyimenan lantai 10 pintu di Rumah Lim Tow Sang, Kim San serta kerja naik taraf menyeluruh di SK Methodist Anglo-Chinese yang melibatkan penyimenan lantai, kerja mengecat dinding, pemasangan pagar dan pemegang tangga jenis keluli tahan karat.
Selain itu, projek bina baharu pagar serta pemasangan pagar keluli tahan karat di Gereja St Alban, Taman Susur Jambu turut siap dan diserahkan kepada pihak gereja.
Menurut Huang, usaha tersebut adalah selaras dengan matlamat kerajaan Sarawak yang ingin memastikan rakyat luar bandar menikmati kemudahan asas yang selesa dan selamat.
“Projek RTP ini bukan sahaja membaiki infrastruktur asas, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.
“Kerajaan komited untuk terus melaksanakan lebih banyak projek seumpama ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek-projek tersebut.