
Penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo meraikan gol ketiga menentang Yokohama F-Marinos pada suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit di Jeddah, Arab Saudi. Al-Nassr menang 4-1
JEDDAH, Arab Saudi: Cristiano Ronaldo meledak gol membantu Al-Nassr muncul kelab ketiga Arab Saudi layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Asia Elit dengan kemenangan 4-2 ke atas kelab Jepun, Yokohama F-Marinos awal pagi tadi.
Terdahulu, Riyad Mahrez dan Roberto Firmino menyumbat gol buat Al-Ahli, tuan rumah tiga pusingan terakhir kejohanan format baharu itu di Jeddah, menewaskan Buriram United dari Thailand 3-0 di Stadium King Abdullah Sports City.
Di gelanggang sama, Ronaldo, yang memburu trofi utama pertama bersama Al-Nassr yang berpangkalan di Riyadh, meneruskan prestasi baiknya dengan menjaringkan gol ketiga pasukannya.
Ronaldo, 40, terbabit dengan peluang pertama Al-Nassr apabila dia menguis dengan tumit hantaran Marcelo Brozovic kembali kepada pemain Croatia itu. Namun percubaan itu ditumbuk keluar penjaga gol Yokohama, Park Il Gyu.
Yokohama, naib juara tahun lalu, memecat bekas penolong pengurus England, Steve Holland minggu lalu.
Pada pertengahan babak pertama, pemain yang dibeli pada musim sejuk Jhon Duran cuba menguji Il Gyu, tetapi rembatan bekas penyerang Aston Villa itu tersasar.
Duran kemudian membuka tirai jaringan pada minit ke-27. Hantaran silang Sadio Mane dari kiri dirembat ke palang golnya sendiri oleh pertahanan Yokohama, Thomas Deng membolehkan Duran menampan masuk ke dalam pintu gol yang ternganga dari jarak dekat.
Al-Nassr menjadikan kedudukan 2-0 empat minit kemudian apabila Otavio melorongkan bola cantik kepada bekas penyerang Liverpool dan Bayern Munich, Mane, yang merembat leret melepasi Il Gyu.
Ronaldo menemui jaringan tujuh minit sebelum rehat. Il Gyu hanya mampu menumbuk bola rembatan Brozovic yang terbias, membolehkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu merembat voli dari dalam kotak penalti.
Ronaldo, penjaring gol terbanyak Liga Pro Saudi musim ini, mengumpul lapan gol dalam tujuh penampilan pada kempen Liga Juara-Juara Asia Elit, kurang satu gol berbanding penjaring gol terbanyak bersama Mahrez, Salem Al-Dawsari, Anderson dan Jasir Asani.
Duran meraih gol keduanya pada minit ke-49 selepas satu serangan balas pantas diketuai Ronaldo.
Pemain antarabangsa Colombia itu menampan masuk bola muntah untuk meletakkan Al-Nassr selesa dengan empat gol.
Yokohama membalas satu gol tiga minit kemudian menerusi rembatan leret Kota Watanabe yang menerjah jaring melepasi penjaga gol Brazil, Bento.
Ronaldo dikeluarkan pada minit ke-66, ketika pengurus Stefano Piolo memikirkan mengenai separuh akhir Rabu ini.
Watanabe kemudian dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua, menyaksikan Yokohama mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain.
Al-Nassr akan bertemu sama ada kelab Qatar, Al-Sadd atau kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada separuh akhir, kedua-dua pasukan itu bertemu lewat malam ini.
Pada satu lagi separuh akhir Selasa ini, pemegang rekod empat kali juara Asia, Al-Hilal berdepan satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Ahli. – AFP