
HOUSTON, Amerika Syarikat: Kempen rekod penampilan keenam Cristiano Ronaldo di Piala Dunia bermula hambar apabila Republik Demokratik Congo (DR Congo) meraih mata pertama dalam sejarah penyertaan mereka di pentas final selepas mengikat Portugal 1-1 dalam aksi Kumpulan K, sebentar tadi.
Tandukan Yoane Wissa membatalkan jaringan awal Joao Neves ketika wakil Afrika itu, membuat penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1974 ketika masih dikenali sebagai Zaire, mempamerkan persembahan yang setanding dengan lawan.
Ronaldo, 41, dilihat gagal memberikan impak sepanjang perlawanan, berbeza dengan pencabar utamanya, Lionel Messi, yang meledak hatrik ketika membantu pasukannya menewaskan Algeria pada Selasa.

Kejayaan DR Congo itu lebih bermakna memandangkan persiapan mereka menjelang kejohanan terganggu akibat penularan wabak Ebola di negara berkenaan.
Beberapa pemain Portugal turut memakai gelang tangan yang diberikan oleh Perdana Menteri negara itu, Luis Montenegro, sebagai penghormatan kepada bekas rakan sepasukan mereka, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.
Portugal memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Neves menanduk masuk hantaran lintang Pedro Neto pada minit keenam.
Bagaimanapun, walaupun menguasai sebahagian besar permainan, Portugal gagal memanfaatkan peluang yang terhidang dan akhirnya dihukum menjelang tamat masa kecederaan babak pertama.
Wissa yang tidak dikawal melonjak tinggi sebelum menanduk masuk bola melepasi penjaga gol Portugal, Diogo Costa, sekali gus mencetuskan kegembiraan dalam kalangan pemain, pegawai pasukan dan penyokong DR Congo di stadium apabila penyerang Newcastle itu menjaringkan gol pertama negaranya dalam sejarah Piala Dunia.

Bekas tonggak pertahanan Portugal, Pepe, yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk khas, jelas tidak berpuas hati dengan situasi berkenaan.
Bernardo Silva memulakan harinya dengan menyertai Real Madrid secara perpindahan percuma, namun menamatkan perlawanan di bangku simpanan selepas dikeluarkan oleh pengendali Portugal, Roberto Martinez, pada waktu rehat.
Dia sempat meraikan jaringan Joao Cancelo menerusi sepakan gunting yang menembusi gawang lawan, namun gol itu dibatalkan selepas pemain berkenaan didapati berada dalam kedudukan ofsaid.
DR Congo terus memberikan tentangan sengit dan penyerang berpengalaman berusia 35 tahun, Cedric Bakambu, berjaya melepasi kawalan Bruno Fernandes sebelum percubaannya terkena tiang gol.

Ronaldo akhirnya memperoleh peluang terbaik selepas menerima hantaran Francisco Conceicao, namun gagal menyempurnakannya apabila rembatannya tersasar di sebelah tiang gol.
Beberapa minit kemudian, gandingan yang sama sekali lagi mencipta peluang apabila Conceicao, yang lebih menyerlah berbanding Silva, menyediakan ruang kepada Ronaldo, namun percubaan penyerang veteran itu sekali lagi gagal menemui sasaran.
Portugal sekurang-kurangnya mengharapkan sepakan penjuru pada penghujung permainan, namun apabila ia tidak diberikan, Conceicao melepaskan kekecewaannya dengan menghentak bola ke tanah ketika pasukannya gagal meraih tiga mata dalam perlawanan pembukaan. – AFP
PEMAIN tengah Portugal, Joao Neves (tengah) meraikan jaringan pembukaan pasukannya dalam perlawanan bola sepak Kumpulan K Piala Dunia 2026 antara Portugal dan Republik Demokratik Congo (DR Congo) di Stadium Houston, Houston, pada 17 Jun 2026. — Foto AFP