PARIS: Pemain tengah Manchester City dan Sepanyol, Rodri dinobat sebagai pemenang Ballon d’Or lelaki selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut dan Euro 2024, tetapi Real Madrid memboikot majlis itu.
Keputusan untuk menganugerahkan hadiah bagi pemain terbaik di dunia kepada pemain tengah bertahan itu agak mengejutkan, dengan pemain Real Madrid yang memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara, Vinicius Junior dilihat sebagai calon terbaik sebelum majlis diadakan.
Beberapa jam sebelum majlis di Paris itu, kelab Sepanyol itu mengumumkan delegasinya tidak akan menghadiri majlis di Chatelet Theatre kerana menganggap kemenangan Vinicius dirompak.
Rodri, 28, memainkan peranan utama ketika City mengatasi cabaran Arsenal untuk memenangi kejuaraan EPL musim lalu dan dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan pada Euro 2024 apabila Sepanyol muncul juara di Jerman.
Sekalipun penganjur Perancis menegaskan identiti pemenang menjadi rahsia besar tahun ini, berita itu dilihat bocor dengan Madrid mengumumkan beberapa jam sebelum majlis mereka tidak akan datang.
Terdahulu bintang Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmati memenangi anugerah Ballon d’Or wanita buat kali kedua selepas mengemudi kelabnya melakar sejarah meraih kejuaraan sebenua kali keempat dan memenangi Liga Negara-Negara bersama negaranya.
Drama tercetus beberapa jam sebelum majlis itu apabila juara Sepanyol dan Eropah, Real menyatakan jika Vinicius tidak menang, anugerah itu sepatutnya diberikan kepada rakan sepasukannya Dani Carvajal.
Seperti pemain Brazil itu, Carvajal menyumbat gol ketika kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund pada final Liga Juara-Juara di Wembley.
“Jika kriteria anugerah ini tidak diberikan kepada Vinicius sebagai pemenang, maka kriteria sama sepatutnya menobatkan Carvajal sebagai pemenang,” kata Real Madrid kepada AFP.
“Oleh kerana ia tidak menjadi kenyataan, jelas sekali Ballon d’Or-UEFA tidak menghormati Real Madrid. Justeru Real Madrid tidak akan pergi kerana ia tidak dihormati.”
Senarai calon Madrid termasuk Kylian Mbappe, Antonio Rudiger, Federico Valverde dan Jude Bellingham.
Pemenang Ballon d’Or dipilih daripada senarai pendek juri antarabangsa 100 wartawan pakar.
Penganjurnya, Kumpulan Amaury yang memiliki akhbar sukan harian L’Equipe dan majalah France Football, menafikan kepada AFP nama pewaris pemenang tahun lalu Lionel Messi bocor dan menegaskan “tiada pemain atau kelab” mengetahui sejak awal siapa yang menang.
Pengurus City, Pep Guardiola menganggap Rodri “berada dalam posisinya, terbaik.”
“Dia boleh melakukan segala-galanya. Kualiti, dia membaca permainan, mentalitinya, dia sering bersedia,” kata Guardiola.
“Dia terlalu bagus dalam banyak perkara… Ketrampilan, secara fizikal, dia seorang yang lengkap. – AFP
SENARAI PEMENANG BALLON d’OR 2024
Ballon d’Or Lelaki: Rodri (ESP/Manchester City)
Ballon d’Or Wanita: Aitana Bonmati (ESP/Barcelona)
Trofi Johan Cruyff bagi jurulatih lelaki terbaik: Carlo Ancelotti (ITA/Real Madrid)
Trofi Johan Cruyff bagi jurulatih wanita terbaik: Emma Hayes (ENG/bekas Chelsea, kini pasukan kebangsaan AS)
Trofi Gerd Mueller bagi penjaring gol terbanyak: Kylian Mbappe (FRA/bekas Paris Saint-Germain) dan Harry Kane (ENG/Bayern Munich) – kedua-duanya 52 gol
Trofi Raymond Kopa bagi pemain muda terbaik: Lamine Yamal (ESP/Barcelona)
Trofi Lev Yashin bagi penjaga gol terbaik: Emiliano Martinez (ARG/Aston Villa)
Hadiah Socrates bagi kerja amal: Jenifer Hermoso (ESP/Tigres Monterrey)
Pasukan lelaki terbaik: Real Madrid
Pasukan wanita terbaik: Barcelona