Rodri bersedia hadapi pertembungan fizikal dengan Argentina

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DARI kiri, Novak Djokovic, Tom Brady, kapten Sepanyol Rodri Hernández dan jurulatih Sepanyol Luis de la Fuente berucap pada sidang media Piala Dunia FIFA 2026 sempena Fanatics Fest NYC 2026 di Pusat Jacob Javits, New York pada 17 Julai 2026. Foto AFP

NEW YORK: Kapten Sepanyol, Rodri menjangkakan perlawanan yang penuh aksi fizikal apabila pasukannya menentang juara bertahan, Argentina pada final Piala Dunia, 3.00 pagi Isnin ini (waktu Malaysia).

Rodri berkata, Sepanyol akan cuba mengabaikan sebarang kemungkinan provokasi daripada lawan mereka dari Amerika Selatan itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada pelaksanaan corak permainan sendiri.

Pemenang Ballon d’Or 2024 yang cemerlang mengemudi bahagian tengah Sepanyol sepanjang ke mpen Piala Dunia itu berkata, final kali ini bakal berbeza daripada mana-mana perlawanan yang pernah diharungi juara Eropah tersebut.

“Saya fikir perlawanan ini akan sangat berbeza,” kata pemain Manchester City itu kepada pemberita.

“Ia akan menjadi perlawanan yang lebih fizikal dan kami perlu bersedia. Namun, jika ada satu perkara yang menjadi identiti pasukan kebangsaan ini, ia adalah keupayaan kami bermain dalam pelbagai situasi mengikut keperluan.

“Kami mampu menyesuaikan diri sama ada ketika bertahan, melakukan serangan balas mahupun menyerang. Kami adalah pasukan yang lengkap dan itulah sebabnya kami berada di sini.”

Ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan Argentina akan menggunakan taktik provokasi, Rodri menjawab:

“Itu memang sebahagian daripada bola sepak.

“Kita akan lihat bagaimana perlawanan berlangsung. Saya lebih suka beranggapan bahawa Argentina ialah sebuah pasukan yang sentiasa memberikan segala-galanya dan mereka tidak terlalu bergantung kepada cara sedemikian.

“Tetapi jika situasi seperti itu berlaku, sudah tentu kami perlu mengabaikannya dan terus bermain mengikut corak permainan kami supaya tidak terperangkap dengan provokasi.”

Kapten Sepanyol itu turut memberikan penghormatan kepada kapten Argentina, Lionel Messi, yang hampir pasti akan membuat penampilan terakhir dalam kariernya di Piala Dunia, dengan menyifatkannya sebagai pemain terhebat sepanjang zaman.

Namun, Rodri mengingatkan bahawa kekuatan Argentina bukan hanya bergantung kepada seorang pemain.

“Sukar digambarkan dengan kata-kata betapa besarnya pengaruh Messi sebagai pemain dan kepada Argentina,” katanya.

“Sudah tentu bagi saya, beliau ialah pemain terhebat sepanjang zaman. Tetapi Argentina jauh lebih daripada sekadar Messi. Mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan yang sangat lengkap dengan pemain-pemain bertaraf dunia.

“Jadi sudah tentu kami perlu memberi perhatian kepada Leo, tetapi juga kepada ramai pemain lain.”

Argentina mara ke final selepas melalui laluan dramatik di peringkat kalah mati, termasuk menewaskan Cape Verde dalam masa tambahan serta bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Mesir dan England.

Rodri berkata, keputusan itu membuktikan kekuatan mental skuad kendalian Lionel Scaloni.

“Ia menunjukkan betapa tinggi semangat daya saing mereka sebagai sebuah pasukan kebangsaan,” katanya.

“Mereka mampu bangkit ketika berdepan kesukaran dan kami mengambil perkara itu sebagai pertimbangan.

“Tetapi kami juga tahu jenis pasukan yang mereka miliki. Kami akan cuba menyakiti mereka dengan cara yang kami mampu.”

Sepanyol mara ke final selepas mengejutkan pilihan utama kejohanan, Perancis, pada separuh akhir dengan menyekat jentera serangan Les Bleus serta menguasai bahagian tengah.

Rodri mengakui persembahan itu antara yang terbaik pernah dipamerkan oleh skuad Sepanyol ketika ini, namun menegaskan mereka perlu meningkatkan lagi prestasi untuk menewaskan Argentina.

“Saya fikir kami perlu meningkatkan lagi tahap permainan kerana mereka ialah juara bertahan,” katanya.

“Dan saya benar-benar yakin kami mampu melakukannya.” — AFP