SIMUNJAN, 26 November: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris atas segala jasa, sumbangan serta khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.
Beliau berkata, keputusan Awla untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Simunjan pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) menandakan berakhirnya satu perjalanan penting dalam kepimpinan dan perkhidmatan politik beliau.
Menurut Rodiyah, peluang bekerjasama rapat dengan Awla dalam kawasan Parlimen Batang Sadong dan DUN Simunjan merupakan satu penghormatan serta pengalaman yang amat bermakna.
“Secara peribadi, saya amat menghormati beliau dan menganggapnya seperti seorang abang yang banyak membimbing serta berkongsi pengalaman, khususnya dalam memahami selok-belok politik dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.
“Nasihat, pandangan dan tunjuk ajar beliau amat saya hargai dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada pengalaman berharga sepanjang perjalanan saya dalam perkhidmatan politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengiktiraf kesungguhan dan komitmen Awla dalam membawa pembangunan ke Simunjan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.
Katanya, beliau menyaksikan sendiri usaha Awla melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan, meskipun berdepan pelbagai kekangan serta cabaran, termasuk perkara di luar kawalan dan kemampuan.
Namun, jelasnya, Awla tetap konsisten menyuarakan keperluan rakyat dan memperjuangkan isu-isu setempat supaya terus mendapat perhatian pihak berkaitan.
Selain sumbangan kepada masyarakat, Rodiyah turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Awla dalam memperkukuh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebagai Ketua Cawangan PBB N.25 Simunjan, kepimpinan, pengalaman serta komitmen Awla disifatkan banyak membantu memperkukuh gerak kerja parti dan semangat perjuangan GPS di peringkat akar umbi.
“Kerjasama dan sokongan beliau selama ini amat bermakna dan saya amat menghargainya,” katanya.
Rodiyah berkata, walaupun Awla memilih untuk tidak meneruskan perjuangan dalam arena pilihan raya, segala jasa dan legasi khidmat baktinya kepada rakyat, parti serta negeri Sarawak akan terus dikenang.
Beliau percaya sumbangan dan pengalaman yang dicurahkan sepanjang perjalanan Awla sebagai pemimpin akan terus menjadi sebahagian daripada warisan kepimpinan yang memberi makna kepada masyarakat Simunjan.
Pada masa sama, Rodiyah mendoakan agar Awla sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kesejahteraan dalam menempuh fasa kehidupan seterusnya.
“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan, bimbingan dan persahabatan yang telah diberikan.
“Jasa dikenang, bakti disanjung,” katanya.
Oleh Adi Safarman



