PETRA JAYA: Penganjuran ‘Rock in the City’ berpotensi dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak sekiranya mampu diteruskan secara konsisten.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran acara itu yang kini memasuki tahun ketiga mempunyai potensi untuk terus dikembangkan, khususnya dalam menarik peminat muzik dari dalam dan luar Sarawak.
“Kenapa tidak? Ia boleh dicadangkan sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan Sarawak.

“Ini merupakan tahun ketiga penganjurannya dan kita mahu melihat acara ini diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Rock in the City’, di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.
Beliau berkata, kehadiran kumpulan muzik popular Indonesia, Peterpan, sebagai antara tarikan utama acara itu dijangka meningkatkan minat peminat muzik untuk hadir ke Sarawak.
Katanya, Peterpan pernah mengadakan persembahan di Sarawak pada 2008, menjadikan kemunculan semula kumpulan itu selepas kira-kira 18 tahun satu tarikan istimewa kepada peminat.
“Apabila peminat mengetahui Peterpan kembali berada di sini, sudah tentu mereka akan teruja untuk datang mendengar muzik mereka dan bertemu dengan anggota kumpulan tersebut,” katanya.
Menurutnya, acara seperti Rock in the City bukan sahaja memberi ruang kepada peminat menikmati persembahan muzik, malah berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada sektor tempatan menerusi kehadiran pengunjung dari luar Sarawak.
“Apabila mereka datang ke sini, mereka memerlukan tempat penginapan, mencari tempat makan, membeli makanan dan minuman serta cenderamata.
“Pada masa sama, mereka mungkin mengambil kesempatan untuk melawat tempat-tempat menarik di Kuching dan Sarawak,” katanya.
Snowdan berkata, kerajaan Sarawak sentiasa menggalakkan penganjuran pelbagai acara bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada masyarakat, selain menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai pelbagai program dan festival yang berlangsung sepanjang tahun, meliputi pelbagai genre muzik serta bidang industri kreatif.
“Kita bukan sahaja mempunyai muzik rock. Kita juga mempunyai muzik jazz, pop dan sebagainya.
“Dengan masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, kita mempunyai banyak perkara untuk diketengahkan,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan dana yang disalurkan kerajaan kepada penganjur acara merupakan dana sokongan dan bukannya tajaan.
“Apabila ia datang daripada syarikat atau pihak persendirian, kita boleh katakan ia adalah tajaan. Tetapi apabila ia diberikan oleh kerajaan, ia merupakan dana sokongan untuk membantu menjayakan acara tersebut.
“Tugas kami adalah menyokong penganjur dan acara itu sendiri, manakala penganjur perlu mengambil inisiatif untuk mengusahakan, menguruskan dan menjayakan program tersebut,” katanya.
Rock in the City edisi ketiga akan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di Wisma Melayu, Kuching.
Selain Peterpan, acara berkenaan turut menampilkan kumpulan muzik dari Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Antara kumpulan yang dijadualkan membuat persembahan ialah Barbarik, Fearless, Senseless, Secret Signal dan Postmortem Education.
Oleh Adele Rissa




